Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2009-09-28

Syawal 1430

Assalamualaikum ww


AlhamdulilLah kita telah berada di bulan Syawal 1430H dan setelah sebulan menjalani tarbiah ruhiyah yang begitu mengasyikkan sehinggakan ada yang tak pernah memegang alQuran pada sebelas bulan yang lalu telah mendakapnya semula. Hampir setiap malam mengadakan qiamullail dengan 23 rakaat solat sunat tarawikh tanpa henti. Tangan ringan menghulur bantuan dan derma serta disudahi dengan mengeluarkan fitrah dengan rela hati.

Bila hari raya tiba kita sibuk dengan ucapan minta maaf merendah diri untuk berpeluk-pelukan tanda ukhuwah. Saudara yang jauh dijengah dan yang menziarah dihidangkan dengan juadah yang tidak pernah kita sediakan dalam tempih 11 bulan yang lalu!

Di malam 1 Syawal kita mengumandangkan takbir dan tahmid memuji Allah dan ada yang sebak dan sayu merasa akan kekerdilan diri akibat penyucian yang dilakukan dalam tempoh sebulan Ramadhan dan ianya tidak akan berlaku tanpa Ramadhan! Adakah kita akan menitis air mata sekarang ketika bertakbir? Sudah tentu sukar tetapi kerana tarbiah yang dilakukan dalam sebulan Ramadhan hati kita jadi lunak dan lembut. Membesarkan Allah bermakna mengecilkan dan merendahkan diri sendiri dan semua makhluk lainnya. Bukan senang kita hendak membuang ego dan bangga diri.....

Ini semua kesan dari nikmat Islam dan Iman yang dianugerahi Allah kepada kita, teruskan amalan baik di bulan Ramadhan untuk 11 bulan mendatang sesungguhnya puasa 6 hari di bulan Syawal itu satu sunnah dan ziarah menziarahi juga suatu sunnah. Allahu Akbar waliLahilhamd.


WalLahu a'lam

Pengerusi

2009-09-17

Khatamul Quran

AlhamdulilLah, malam 27 Ramadhan telah berlangsung majlis khatamulquran setelah 27 hari 'kumpulan tadarus' Surau Annur membaca dengan tekun dan penuh istiqomah. Pada tahun ini penyertaan agak ramai sehingga 12 orang pada sesuatu malam sehingga terpaksa dipecahkan kepada 2 kumpulan bagi membolehkan setiap ahli kumpulan membaca dengan lebih banyak lagi.

Antara qori yang kuat istiqomahnya seperti Sdr Nashrol, Sdr Azizi, Sdr Roslan, Sdr Rashidi, Sdr Zahidi, Dato' Penasihat sendiri dan di pimpin oleh Ustaz Samsudeen serta Ustaz Zulkifli.

Kaedah tadarus, seorang membaca dan lain mendengar dan memperbetulkan. Ini dapat memperbaiki mutu bacaan setiap ahli tadarus. Insya Allah program ini akan diteruskan di luar Ramadhan dalam bentuk hafazan.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus beristiqomah dalam mendampingi alQuran.

Wahai Allah,
rahmatilah kami dengan alQuran
Jadikanlah ia bagi kami sebagai imam dan nur dan petunjuk dan rahmat
Wahai Allah,
berilah ingatan kepada kami dari apa yang kami lupa
berilah pengetahuan kepada kami dari apa yang kami jahil
anugerahilah kami dengan dapat membacanya pada malam dan siang
anugerahilah kami dengannya sebagai hujjah
Wahai Tuhan sekeliah alam.

Wassalam
Pengerusi 

2009-09-13

Ibadah di Malam 23 Ramadhan

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dikasihi, dari hadis-hadis Nabi SAW menunjukkan betapa Nabi SAW melakukan ibadah berlipat kali ganda bila tiba 10 malam terakhir Ramadhan. Ini semata-mata untuk menjadi sunnah kepada umatnya.

Hadis riwayat Imam Muslim, dari dari Abullah bin Masud RA, katanya, " Siapa yang melakukan solat malam sepanjang tahun, nesaya ia bertemu dengan malam Qadar", jawab Ubay RA, " Demi Allah!, saya tahu malam itu sesungguhnya terdapat dalam bulan Ramadhan. Demi Allah! Aku tahu akan malam itu, dimana RasululLah SAW menyuruh kami menegakkannya (beribadah pada malam itu),....."

Imam Muslim juga meriwayatkan dari Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Siapa yang mendirikan (solat malam) Ramadhan dengan penuh keimanan dan perhitungan (untuk Allah), diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu".

Aktiviti malam 23 Ramadhan 1430H adalah seperti berikut:
7:16 malam - berbuka di Surau Annur SP1
7:30 malam - solat maghrib
7:45 malam - makan malam
8:35 malam - solat isyak
9:00 malam - tazkirah oleh Ust Hafiz
9:40 malam - solat tarawikh
10:40 malam - tadarus

Pagi
3:30 pagi - bangun & persiapan untuk qiamullail
4:00 pagi - solat tasbih, hajat dan witir
5:20 pagi - sahur
5:50 pagi - solat subuh
6:30 pagi - tazkirah subuh oleh Ustaz Ilyas Helmi
7:20 pagi - program tamat.

Semoga Allah menerima amal2 amal kita dalam bulan ramadhan almubarak ini.

Wassalam
Pengerusi

Suasana Iftar Jamaie Surau Annur SP1

Assalamualaikum ww

Alhamdulillah antara program Surau Annur SP1 pada Ramadhan tahun ini ialah majlis berbuka perdana di mana penduduk kariah Surau Annur SP1 sama-sama menyumbang, menyedia dan berbuka di surau.

Saudara Shah dengan karinya dan Sdr Muzafar dengan bubur lambuk..
Sebahagain yang memberi sokongan moral kepada Chef Mazlan dan team memasaknya....
Muslimat juga turut terlibat......
Kari yang dah naik baunya.... Bubur lambuk yang dah sedia untuk dihidangkan.
Sebagaian menu utama (Nasi putih, kari ikan merah, goreng ayam berempah, sayur campur...)
Tiba masa berbuka..... menikmati juadah berbuka sebagai satu dari sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.
Muslimin dan muslimat merasakan kebersamaan semasa majis berbuka ini...
Kepada semua penyumbang semoga Allah membalas kebaikan yang tuan/puan berikan dengan kebaikan yang banyak. Kepada Saudara Mazlan dan semua team yang menyediakan makanan (termasuk muslimat) - sesungguhnya ini adalah khudwah yang baik, Allah pasti menganjarkan pahala puasa tuan/puan berlipat kali ganda kerana menjamu makanan untuk berbuka. Kepada Saudara Zahidi, Saudara Azrin dan team remaja - pengemasan dan kebersihan yang saudara-saudara lakukan tidak akan disia-siakan Allah kerana ianya menunjukkan iman yang jelas kepada yaumul-hisab. Kepada semua AJK surau, ingatlah usaha tuan/puan pastinya mendapat ganjaran di sisi Allah terutama di bulan yang penuh keberkatan ini.
Amin ya Rabbal a'alamin.
Wassalam
Pengerusi

2009-09-08

Iftar Jamaie - 12/9/09

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dimuliakan, insya Allah Surau Annur SP1 akan mengadakan iftar jamaie seperti berikut:

Tarikh: 12/9/2009 (Sabtu)
Masa: 7:00 Petang
Aturcara majlis:
07:00 petang - Ketibaan penduduk
07:10 petang - bacaan doa
07:16 malam - berbuka
07:36 malam - solat maghrib

Penyediaan makanan untuk berbuka secara gotong royong. Sumbangan tuan/puan untuk majlis ini amatlah dihargai.

Wassalam
Pengerusi

Ramadhan Bulan AlQuran

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dirahmati Allah, alQuran dan Ramadhan tidak dapat dipisahkan kerana turunnya alQuran berlaku pada malam Ramadhan. Ini difirmankan Allah sendiri dalam alQuran:

Al-baqarah [Ayat : 185]

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah).....
 
 Ali-imran [Ayat : 3]

Ia turunkan kepadamu Kitab Suci (Al-Qur'an) dengan kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
 
Ali-imran [Ayat : 7]

Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur'an. Sebahagian besar dari Al-Qur'an itu ialah ayat-ayat "Muhkamat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); itulah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Qur'an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksud yang sebenar) melainkan Allah.
 
Al-maidah [Ayat : 44]

.....Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu menjual ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah kerana mengingkarinya, maka mereka itulah orang yang kafir.
 
Thoha [Ayat : 2 -5]

Kami tidak menurunkan Al-Qur'an kepadamu supaya engkau menanggung kesusahan.Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah. Diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu Allah Ar-Rahmaan, yang bersemayam di atas Arasy.

Al-hasyr[Ayat : 21]

Sekiranya Kami turunkan Al-Qur'an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia,upaya mereka memikirkannya.
 
Al-muzammil [Ayat : 2-4]

Bangunlah (sembahyang Tahajjud) pada waktu malam, selain dari sedikit masa (untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan Tartiil.

Alquran adalah mu'jizat yang agung dan akan berkekalan sehingga hari kiamat yang akan menjadi rujukan kepada kita umat yang mengaku beriman kepada Allah.

WalLahu 'alam

Harun Noordin

2009-09-03

Aktiviti Malam Ramadhan di Surau Annur SP1


Assalamualaikum ww

AlhamdulilLah sudah hampir 2 minggu kita menjalani ibadah puasa tahun ini dan suasana surau Annur SP1 lebih meriah dari hari-hari biasa dengan didatangi lebih ramai jamaah untuk turut sama menghayati malam-malam Ramadhan.

Seperti masjid dan surau-surau lain, Surau Annur SP1 mengadakan solat tarawikh (8 rakaat + 3 witir pada hari bekerja dan 20 rakaat + 3 witir pada hujung minggu). Diimamkan oleh Ustaz Samsudeen dan Ustaz Zulkifli. Untuk memeriahkan suasana solat, solat tarawaikh diiringi dengan bacaan salawat dan zikir.

Setiap malam juga jamuan moreh diadakan atas sumbangan penduduk dan peniaga setempat. Insya Allah akan diadakan juga majlis berbuka bersama-sama penduduk SP1.

Wassalam

Pengerusi

Ramadhan Bulan Barakah

Assalamualaikum ww,

Sahabat-sahabat yang dimuliakan, alhamdulilLah kita telah melepasi 10 hari pertama bulan Ramadhan tahun 1430 ini dan semoga Allah terus memberi kita kekuatan untuk meningkatkan ibadah kita. Di antara amalan soleh yang dituntut dalam bulan Ramadhan ini ialah:
  • menjaga lisan (lidah)
  • menjaga pandangan
  • menjaga pendengaran
  • perbanyakkan sedakah
  • menjamu berbuka
  • solat malam (tarawikh dsb) /qiamullial
  • membaca alQuran
  • beristighfar/bertaubat
  • beri'tiqof
  • berbuat baik kepada ibubapa / menyambung silaturahim
Mafhum surah alBaqoroh ayat 187:
"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu campuri isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa"

WalLahu a'lam

Harun Noordin