Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2012-03-31

Iman Yang Mantap

Assalamualaikum ww
Beberapa minggu lepas, saya didatangi oleh seorang anak remaja mengadu masalah "keyakinannya" dan kebimbangannya terhadap status keislamannya. Beliau berterus terang yang fikirannya sering diganggu dengan keyakinan tentang kebenaran akan sifat Allah yang Maha Esa. Dengan kata lain beliau masih ragu-ragu akan keesaan Allah....

Saya katakan padanya, ini adalah kerja syaitan yang ingin meragu-ragukan manusia. Sesungguhnya Allah telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya sifat Ahad akan Allah SWT seperti yang diwahyukan dalam surah al Ikhlas:
Mafhumnya: Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.

Semasa remaja, saya juga mengalami masalah yang sama. Ini adalah fitrah seorang remaja yang ingin tahu termasuk akan persoalan-persoalan penting dalam hidupnya. Bagi golongan yang tidak mengambil kisah terhadap persoalan penting ini, ianya akan membiarkan persoalan ini tanpa mencari jawapannya dan jika diuji keyakinan mereka ini, besar kemungkinan akan berlaku goncangan.

Mencari tempat bertanya yang betul dan benar amatlah penting, kerana jawapan mudah tidak akan memuaskan hati ramai remaja yang sering bertanya soalan-soalan mengikut logik akal mereka. Bukan seperti kanak-kanak, golongan remaja perlukan jawapan yang kemas dan tuntas. Jawapan yang berbelit-belit seperti penghuraian dalam semasa belajar "Sifat 20" pula tidak mudah bagi mereka memahaminya, yang dianggap hanya untuk golongan "tua".

Kira-kira 30 tahun yang lalu, saya juga mengajukan soalan yang hampir sama kepada seorang guru matematik.
Saya: Cikgu, benarkan Allah itu Maha Adil?
Cikgu: Apakah kamu masih tidak meyakininya?
Saya: Saya nampak ketidak-adilan dimana-mana.
Cikgu: Bukan mudah mencari jawapannya tetapi harap kamu boleh bersabar.
Saya: Bagaimana caranya, cikgu?
Cikgu: Kamu kena datang ke sini setiap hujung minggu, jangan tinggalkan solat berjamaah dan cari majlis ilmu dengan berjalan kaki!
Nota: Cikgu tersebut adalah merupakan naqib usrah saya yang pertama...

Inilah tarbiah pertama saya untuk mendapat jawapan akan keAdilan Allah!

Sekadar memberi jawapan kepada remaja berkenaan tentang keesaan Allah SWT tidak akan membekas di dalam hatinya, sama juga bagaimana Allah menerangkan kepada Nabi Ibrahim bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati.

Saya menyarankannya agar:
1. Beliau perlu istiqomah menunaikan solat berjamaah di masjid/surau dengan berjalan kaki
2. datangi majlis ilmu dengan berjalan kaki
3. jauhi perbuatan maksiat sekuat mungkin
Jika beliau mampu melaksanakannya dalam tempoh 3 bulan, menetapkan iman beliau akan lebih mudah.....

walLahu a'lam
Harun Noordin

2012-03-24

Ziarah Orang Sakit

Assalamualaikum ww

Sahabat-sahabat yang dikasihi, ketika membelek buku di rak buku almari ternampak satu buku bertajuk "Panduan Pengurusan Jenazah" sususan Masjid Negara dan Bab 1 dalam buku ini adalah "Perkara Yang Perlu Dilakukan Semasa Orang Sakit".

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat muakkadah (sangat dituntut) agar dengannya dapat menghibur pesakit dan keluarganya. Pahalanya sangat besar sehinggakan seorang yang pergi menziarahi orang sakit umpama memetik buah-buaahan syurga.

Anatra adab-adabnya:
1. jangan duduk lama sangat bila menziarahi orang sakit.
2. menziarahi selang sehari jika diizinkan dan pesakit redho.
3. doakan agar pesakit cepat sembuh, sabar, kuat iman dan sebagainya
    contoh doa " as-alulLahal'azim, rabbal 'arsyil 'azim anyasy-fika"
4. memberi kata-kata baik menenang dan menghiburkan
5. meminta orang sakit menghiasi diri dan berwangi-wangian.
6. menasihati pesakit supaya ingat Allah, solat, zikir dan sebagainya
7. memberi minum atau menitiskan air ke dalam mulutnya jika ia dahaga
8. jangan berbual kosong, gelak ketawa tetapi tunjukkan rasa simpati
9. sunat dibacakan bacakan yaasin atau ar-ra'd kepada pesakit
10. duduk di sisi kepala pesakit ketika ziarahinya.
11. mengajar kalimah syahadah terutama yang ada tanda nazak.

Wallahu a'lam
Harun Noordin