Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2010-09-24

Albaqoroh:31

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar."

Menjadi khalifah di bumi Allah ini perlukan ilmu dan Allahlah yang mengajarkan kita pelbagai jenis ilmu. Benarlah sabda Nabi SAW, jika hendakkan kejayaan di dunia dengan ilmu, jika hendakkan kejayaan di akhirat juga dengan ilmu dan jika hendakkan kejayaan di dunia dan di akhirat juga dengan ilmu.

Inilah kekuatan manusia kerana ianya mampu belajar. Asas dalam ilmu dan paling penting adalah mengenal nama dan manusia mampu memberikan nama benda-benda dengan ilmu yang diberikan oleh Allah. Dari sini berkembangnya ilmu pengetahuan. Menjadi asas kepada pelajar supaya diuji akan ilmunya supaya diketahui samada ilmu yang diajar difahami atau tidak. Belajar tanpa ujian akan menjadikan pembelajaran itu kurang berkesan atau sia-sia.

Itu sebabnya jika kita lihat kelas 'maghrib' di surau atau masjid tidak dapat difahami sepenuhnya oleh jamaah/pelajar kerana tiada ujian manakala pelajar pula datang dengan 'tangan kosong' tanpa ada usaha untuk mencatat nota yang dipelajari. Kadang-kadang buku/kitab yang diajar oleh Guru/Ustaz pun tidak diketahui tajuk dan pengarangnya!

Allah SWT mengajar kita cara-cara menuntut ilmu maka perbaikilah supaya kita mampu menjadi khalifah Allah di mukabumi ini.

Wallahu a'lam
HBN

2010-09-19

Peristiwa Kejam Yahudi Di Sabra dan Shatila (16 - 18 Sept 1982)

Assalamualaikum ww

Sahabat2 yang dirahmati Allah, hari ini, 18/9/2010 genap 28 tahun peristiwa menyayat hati dimana beribu ribu rakyat Palestine dibunuh kejam oleh tentera Israel di Khemah (penempatan pelarian yang telah dirampas hak/kediaman mereka oleh Israel) Sabra dan Shatila. Pembunuhan selama 3 hari berturut-turut ini membunah kanak-kanak, orang tua, perempuan dan orang-orang lemah. Alasan Israel melakukan pembunuhan ini kerana Khemah ini nempatkan pejuang Palestin.

Bila membaca tulisan Robert Fisk tentang peristiwa ini,

"Bill Foley of AP had come with us. All he could say as he walked round was "Jesus Christ" over and over again. We might have accepted evidence of a few murders; even dozens of bodies, killed in the heat of combat. Bur there were women lying in houses with their skirts torn torn up to their waists and their legs wide apart, children with their throats cut, rows of young men shot in the back after being lined up at an execution wall. There were babies - blackened babies babies because they had been slaughtered more than 24-hours earlier and their small bodies were already in a state of decomposition - tossed into rubbish heaps alongside discarded US army ration tins, Israeli army equipment and empty bottles of whiskey. "


Rakyat Palestin mahukan negara mereka dan hidup dalam keadaan aman sebagaimana kita. Umat Islam menyokong Palestin kerana:
  • Saudara seIslam dizalimi: dibunuh, diseksa, dirogol, rumah dan harta dimusnah dan dirampas.
  • Masjid ketiga utama dalam Islam telah dijajah oleh Israel, satuhinaan kepada Islam
  • Menentang kezaliman Israel kepada rakyat Palestin.
Kerajaan2 umat Islam tidak mampu menentang Israel malah banyak yang berbaik dengan Israel kerana Amerika Syarikat adalah sekutu rapat Israel. Kekuatan Israel kerana:
  • kawalan ekonomi dan politik kalum Yahudi terhadap negara Barat dan kuasa2 besar dunia
  • sokongan Amerika Syarikat dan ugutan kuasa besar ini ke atas negara2 umat Islam
  • mempunyai kelengkapan senjata yang besar
  • Negara-negara umat Islam TIDAK membantu rakyat Palestin dari segi kekuatan ketenteraan.
  • Kepimpinan Palestin telah ditipu oleh Israel dan Amerika Syarikat, malah mereka masih 'tidak sedar' mereka ditipu.
Israel melakukan pembersihan etnik dan agama yang teruk tetapi media antarabangsa tidak mampu memberi tekanan kepada Israel berbanding ngara lain.

Penyelesaian yang akan menghasilkan kjayaan adalah jihad rakyat Palestin sendiri dan umat Islam seluruhnya pasti akan melenyapkan Israel di bumi Palestin. Tidak akan berjaya rundingan dengan Yahudi kerana mereka tidak akan menepati janji.

WalLahu a'lam
Harun Noordin

2010-09-14

Albaqoroh:30

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar walilLahilhamd. Sudah 4 hari kita menyambut Aidilfitri sungguh Agung dan Besarnya Zat Allah dan Sifat Kasih dan Sayang Allah kepada hambaNya, yakni kita kerana kita hanya diperintahkan berpuasa selama sebulan. Pelbagai ganjaran dan kenikmatan dirasai sepanjang bulan Ramadhan dan 1 Syawal pula kita diperintahkan berbuka. Bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk menyediakan makanan, maka menjadi kewajipan untuk orang lain (yang berkemampuan) memberikan makanan (zakat fitrah).

Oleh itu tiada sebab untuk orang yang telah diberikan jiwa taqwa, membiarkan saudaranya kelaparan pada 1 Syawal. Inilah keistimewaan kejadian manusia mukmin yang disertai dengan nafsu dan akal serta diberikan syariat sebagai bekalan dlam menghadapi ujian mentadbir bumi ini. Allah mengurniakan hak mentadbir bumi ini kepada manusia supaya dapat dinilai siapakah yang lebih baik amalan. Walaupun jawatan menjadi Khalifah di mukabumi ini juga 'diingini' oleh Malaikat tetapi Allah tetap memilih manusia kerana kelebihan yang ada pada manusia.

Insya Allah kita teruskan hafazan alQuran kita walaupun mungkin tidak 1 ayat sehari seperti dalam bulan Ramadhan tetapi mencukupilah dari tiada membuat hafazan langsung. Cuma istiqomah kitalah perlu diperteguhkan lagi di luar bulan Ramadhan ini.

WalLahu a'lam
HBN

2010-09-08

Albaqoroh:29

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dialah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

Allah menjadikan segala-gala di bumi ini untuk manusia, oleh itu manusia sewajarnya menjadi pentadbir/pengurus kepada dunia ini. Dibekalkan Allah dengan ruh dan jasad yang bersesuian sehingga ianya menjadi sebaik-baik kejadian, juga dibekalkan dengan nafsu dan akal, manakala peraturan mentadbir juga diberi yakni syariat agama (Islam). Dalam urusan mentadbir ini Allah menjanjikan rezeki untuk hambaNya.

Sekiranya ianya mematuhi syariat Allah dan berjaya mentadbir dunia ini maka Allah ganjari dengan balasan syurga yang luas dan penuh kenikmatan. Itulah ganjaran yang disediakan Allah kepada orang-orang yang benar dalam kesaksian mereka.

Mungkin esok atau lusa kita akan menyambut hari raya Aidilfitri (hari raya fitrah), di mana pada hari raya ini kita kembali kepada fitrah kejadian dan rutin harian yakni kembali boleh makan dan minum serta bergaul dengan isteri seperti sebelum Ramadhan. Kesukaan syahwat (bagi lelaki) kepada wanita, anak-anak dan kekayaan adalah fitrah; Islam membenarkannya tetapi mengikut panduan syariat Allah. Allah tidak menggalakkan pembujangan atau menyekat kelahirkan zuriat apatah lagi kalau takut miskin kerana anak-anak (setiap manusia) itu telah ditentukan rezekinya oleh Allah SWT.

Menjelang hari raya ini ramai yang akan balik ke kampung untuk menziarahi ibubapa dan sanak saudara, lakukanlah dengan niat yang ikhlas sebagai satu dari tuntutan taat kepada Allah SWT. Menziarahi ibubapa dan menyenangi hati meraka adalah satu kewajipan kepada anak-anak. Lakukanlah sebaik mungkin sehingga redho Allah juga meliputi kita dalam merayakan kejayaan tarbiah Ramadhan tahun ini.

Dalam pergaulan semasa hari raya, elakkan hubungan yang bebas dan diluar batas syarak. Janganlah hilangkan pahala sebulan Ramadhan dengan maksiat-maksiat yang dilakukan di hari raya. Perbanyaklah membesarkan Allah sebagai tanda syukur kita di atas nikmat yang diberikanNya.

Berhati-hati memandu di jalan raya dan patuhilah peraturan jalan raya serta penuhi hak orang lain.

WalLahu a'lam
HBN

2010-09-07

Albaqoroh:28

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; Setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula; akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan)."

Hari ini ramai rasanya yang akan berangkat untuk balik ke kampung berhari raya. Begitulah adat kehidupan, walau bagaimana jauh sekalipun pastinya akan balik kekampung juga. Dan kampung sebenar kita adalah di akhirat yang mana setiap dari kita akan pulang juga ke sana. Tetapi dalam ghairah berhari raya, jangan pula tergopoh gapah sehingga niat nak pulang ke kampung di dunia akan menjadi pulang ke kampung akhirat!

Manusia melalui beberapa fasa kehidupan: alam ruh kemudian dibentuk kejadian dalam rahim ibu sebelum ditiupkan ruh itu kepada jasad yang sedang dalam pembentukan kemudiaan kehidupan di dunia ini kemudian alam barzakh kemudian alam mahsyar kemudian alam pembalasan samada di syurga (jannah) atau di neraka (nar).

Mengingati kematian adalah tanda kecerdikan, bagaimana seorang yang mengatakan cerdik sanggup kufur kepada Allah di mana akhirnya semua manusia akan kembali mengadap Rabb al-Jaliil.

Ingatlah hukum Islam meliputi semua hak, samada hak Allah, hak sesama Islam, hak manusia atau hak makhluk. Pelanggaran terhadap hak ini akan menyebabkan seseorang itu melakukan dosa yang akan di balas di akhirat nanti. Jalanraya juga satu hak yang perlu dipatuhi, melanggar kesalahan jalan raya juga satu maksiat kepada Allah! Oleh itu patuhilah peraturan di jalanraya.

WalLahu a'lam
HBN

2010-09-06

Albaqoroh:27

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang yang sungguh rugi."

Banyak ulama yang mengatakan lailatulqadar itu pada malam 27 Ramadhan (malam tadi), semoga Allah menganjarkan kita pahala yang banyak sehingga diampuni dosa2 kita yang lalu dan akan datang.

Orang2 yang dikurniakan hidayah oleh Allah tetapi menolak hidayah itu adalah golongan yang rugi. Carilah kesilapan dalam syariat Islam, pastinya tidak akan terjumpa. Jika ada yang mengatakan syariat Islam itu ada kepincangan sebenarnya mereka itu bukan menilai syariat tetapi menilai pengamal syariat itu. Orang-orang Islam tidak terlepas dari kesilapan hatta para ulama pun melakukan kesilapan.

Dalam Islam konsep akidah jelas dan mudah difahami, dalam Islam konsep ibadah jelas dan mudah dilaksanakan, dalam Islam syariatnya telah terbukti boleh diamalkan dan bebas dari sebarang penindasan. 1500 tahun Islam mentadbir dunia ini penuh dengan keadilan dan jika bukan kerana kerakusan raja-raja yang memerentah Islam, nescaya kegemilangan Islam masih boleh kelihatan hingga kini.

Amat malang jika seorang Islam yang masih belum mengkaji dan memahami Islam sepenuhnya terus menolak Islam dan menjadi murtad. Ini seumpama seorang yang mempunyai baju baru yang cantik dan masih belum memakainya tetapi telah tertarik dengan baju buruk dan koyak yang dipakai oleh orang lain.... alangkah ruginya dia di dunia dan diakhirat.

Wahai Yang Membalikkan Hati, teguhkanlah hati-hati kami di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu...  amin.

WalLahu a'lam
HBN

2010-09-05

Albaqoroh:26

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya, kalau orang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang kafir pula maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan ini? Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan perbandingan itu, dan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak menjadikan sesat dengan perbandingan itu melainkan orang yang fasik;"

Tinggal beberapa hari lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadhan alMubarak tahun ini, entah sampai atau tidak umur kita hingga Ramadhan tahun hadapan. Ramadhan adalah madrasah tarbiah yang disediakan oleh Allah untuk orang-orang beriman. AlQuran juga diturunkan pada malam lailatulqadar yang juga pada malam Ramadhan. Di dalam alQuran, Allah memberi perumpamaan yang dianggap remeh oleh golongan yang engkar.

Bandingan seperti nyamuk, lebah, labah-labah, semut dan sebagainya amatlah tepat kerana pada masa kini kajian-kajian yang dijalankan terhadap hidupan ini amat menarik dan penting sekali misalnya:
1. Nyamuk dengan sifat2 serangga menjadi vektor kepada penyakit denggi. Malah nyamuk juga menjadi agen untuk menyebarkan senjata biologi.
2. lebah pula sehingga hari ini manusia tidak mampu menghasilkan produk madu yang dihasilkan oleh lebah. Struktur koloni lebah dikaji secara saintifik. Malah lebah diternak untuk madunya dan juga pendebungaan.
3. kajian saintifik tentang semut juga mendapati pelbagai jenis semut dan mempunyai sistem koloni yang berbeza. Kajin tentang semut juga diperlukan untuk perubadatan terutama bagi semut yang mempunyai bisa.

Semakin berilmu manusia itu, semakin sukar mereka mafikan keagungan kitabulLah ini, kecualilah orang-orang yang telah di'buta'kan penglihatan, di'pekak'kan pendengaran dan ditutup hati untuk memahami kebanaran oleh Allah.

Wallahu a'lam
HBN

Albaqoroh:25

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya, dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan / isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya."

Secara jelas Allah SWT memberi berita gembira kepada orang-orang beriman dengan alQuran tanpa ragu-ragu dan beramal dengannya, akan ganjari dengan syurga yang menanti. Disifatkan Allah akan syurga itu sungguh menarik pada syahwat. Beberapa ciri syurga yang ada di dalam ayat ini:
1. Ianya merupakan taman
2. Ada sungai yang mengalir di bawahnya (boleh dilihat dan dirasa)
3. ada juga buah-buahan seperti di dunia (dari segi rupa) tetapi sudah pasti rasanya lebih enak/lazat.
4. diadakan pasangan (isteri-isteri) yang sentiasa boleh digauli (tanpa kekotoran dan haid).
5. hidup kekal dalam kegembiraan dan kenikmatan.

Sebelum menjadi penghuni syurga, maka Allah uji manusia dengan kehidupan yang singkat ini supaya hanya yang baik amalnya saja yang dapat mengecapinya.

Ya Allah redhoilah kami akan jannahMu dan jauhilah kami dari nerakaMu, sesungguhnya Engkaulah Pengampun yang Maha Mulia, suka Mengampuni maka ampunilah Kami.... amin.

WalLahu a'lam

Albaqoroh:24

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak akan dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir."

Inilah mukjizat yang agung alQuran kerana ianya tidak akan dapat ditiru dan ditandingi samasekali walaupun berkumpul seluruh makhluk untuk menciptanya. Oleh itu janganlah cuba menentang Allah samada kerana balasannya tidak lain hanya api neraka. Allah menyifatkan 'bahan api' untuk api neraka ialah manusia dan batu berhala.

Jika bahan bakarnya ialah batu maka sudah pasti suhu bakarannya amatlah tinggi kerana secara sains kita mengetahui batu mempunyai takat lebur yang tinggi! Oleh itu, seolah-oleh manusia hanyalah seperti kertas yang digunakan untuk memulakan pembakaran bagi kayu api! Semoga Allah menjauhi kita dari azab neraka itu... amin.

WalLahu a'lam
HBN

Khatamulquran dan Qiamullail

Assalamualaikum ww,

AlhamdulilLah, malam 25 Ramadhan kita telah mengadakan majlis khatamulquran, ini adalah majlis penutup tadarus alQuran sepanjang bulan Ramadhan kali ini. Antara yang terlibat dalam tadarus pada tahun ini:
1. Penasihat Surau An-Nur, Dato' Dr Hj Mohd Azhar
2. Tn Haji Harun
3. Sdr Osmawi
4. Tn Hj Mohd Nor Azizi
5. Sdr Ahmad Rashidi
6. Tn Ir Nashrol Azam
7. Alfadhil Ustaz Zulkifli
8. Sdr Roslan
9. Sdr Zahidi
10. Sdr Narizal
11. Sdr Bukhori
12. Alfadhil Ustaz Hj Shamsudeen
13  Alfadhil Ustaz Mashudi

Majlis khatamulquran dihadiri oleh semua jamaah solat Tarawikh diketuai oleh Ustaz Mashudi. Bermula dengan surah Ad-dhuha hingga surah An-nas dibaca secara bergilir-gilir. Doa khatamulquran dibaca oleh Ustaz Mashudi.

Pada malam itu, penduduk kariah SP1 (muslimin) dan anak2 bermalam di surau sebagai persediaan untuk qiamullail pada pukul 3:30 pagi. Ustaz Samsudeen mengimami sholat tasbih dan witir. Kira-kira pukul 5:15 pagi qiamullail tamat dengan sahur yang ditaja oleh Sdr Suhaimi.

Solat subuh pula diimamkan oleh Ustaz Mashudi sebelum majlis bersurai sekitar pukul 7:00 pagi.

WalLahu a'lam
Pengerusi

2010-09-02

Albaqoroh:23

Assalamualaikum ww,

Mafhumnya: "Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur'an itu, dan panggillah orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar."

Rujukan utama bagi Syariat Islam adalah AlQuran. Bagi manusia yang nafsu dan akal yang merasa serba cukup dan sempurna tidak akan mahu menerima bahawa alQuran adalah pedoman dan panduan kehidupan. Sebagai dalih untuk menolak perlaksanaan hukum alQuran, maka mulalah dipertikaikan kebenaran akan alQuran itu.

Allah SWT mencabar manusia disepanjang zaman supaya menggubah satu surah yang dapat menandingi alQuran, jika mereka meragui alQuran itu datang dari Allah tetapi merasakan alQuran itu hanyalah ciptaan Nabi Muhammad yang bersifat kemanusiaan. Allah memberitahu usaha menggubah alQuran itu tidak akan berjaya. Telah banyak dan acapkali cubaan membuatnya tetapi dapat dikesan dan diketahui kerana Allahlah 'menjaga' alQuran hingga ke hari kiamat agar terpelihara ketulinan qalamulLah ini.

WalLahu a'lam
HBN

2010-09-01

Albaqoroh:22

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit sebagai bangunan; dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui."

Bumi adalah planet yang cantik ada berbilion2 kehidupan di atasnya, ada yang lebih besar dari manusia, ada yang kecil dan seni. Ada hidupan dari jenis tumbuhan dan kesemua hidupan ini dari zat tanah dan air. Manakala matahari diperlukan sebagai sumber tenaga utama. Gas dan udara merupakan pemangkin berlakunya proses kimia bagi membolehkan proses biologi terjadi. Kesemuanya berada dalam keseimbangan. Manusia adalah makhluk perosak utama untuk alam (bumi) ini kerana mereka yang banyak melakukan perubahan yang menyebabkan kerosakan itu.

Haiwan lain dan tunbuhan hidup secara fitrah yang telah ditentukan Allah. Manakala manusia secara fizikal juga berada dalam fitrah tetapi nafsu dan akal manusia tidak seperti haiwan lain kerana dua2 unsur yang ada pada manusia ini boleh berkembang dan menguncup, manakala setiap satu memberi kesan atas satu yang lain.
Undang2 fitrah tidak boleh digunakan kepada manusia kerana nafsu dan akal ini mungkin menjadi tidak terkawal. Cara pengawalannya adalah dengan Syariat yang diturunkan oleh Allah kepada rasul2Nya. Sesungguhnya hanya alQuran sajalah yang sah dan sesuai "valid" sekarang ini sehingga hari akhirat (berlakunya kemusnahan alam ini).

Allah menerangkan kehebatan ciptaanNya dan ketundukan hanyalah untuk Allah yang Maha Pencipta yang telah diakui oleh sekelian makhluk termasuk manusia samada disedari atau tidak. Adalah tidak munasabah jika Allah mempunyai sekutu-sekutu yang lain, jika benar-benar memahami hakikat penciptaan alam ini.

Kembalilah kepada jalan kebenaran.

WalLahu a'lam
HBN