Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2010-04-30

Madihah

Assalamualaikum,

Sahabat2 yang dikasihi, malam tadi seperti biasa kita mengadakan majlis zikir. Ditambah dengan solat hajat untuk kesembuhan anak kedua Ustaz Samsudeen (Imam Surau AnNur SP1), Madihah yang dilahirkan pada 25 April lalu. Beliau masih lagi di wad ICU Hospital Serdang sejak dilahirkan kerana didapati jantungnya tidak dapat berfungsi dengan normal.

Walaupun isteri Ustaz Samsudeen telah boleh pulang ke rumah, tetapi mereka berulang setiap hari ke hospital untuk menyusukan Madihah.

Marilah sama-sama kita doakan agar Madihah segera sembuh dan kembali bersama ibu dan ayahnya. Bagi sesiapa ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini, sila hubungi Tuan Bendahari/Setiausaha (nombor telefon ada di bahagian bawah blog ini.

Wassalam.
Pengerusi

2010-04-23

Ibu Dan Bapa

Assalamualaikum sahabat2 yang dikasihi,

Kehidupan seorang manusia lahir dari kehidupan manusia lain yang dikenali sebagai ibu dan bapa. Dua orang makhluk ini adalah pencetus kehidupan kepada kita, oleh itu kita ada tanggungjawab kepada mereka seperti difirmankan Allah SWT:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
Surah Luqman, Ayat 14

Berbuat baik itu amatlah besar makna dan tanggungjawabnya sehinggakan apa-apa yang tidak dirasakan baik oleh ibu dan bapa maka kita dilarang melakukannya kecuali diminta untuk mensyirikkan Allah dan berbuat maksiat kepadaNya.

Sesungguhnya kitar hidup kita silih berganti dan kita juga akan melalui apa yang dilalui oleh ibu dan bapa kita walaupun qadarnya berbeza-beza.

Firman Allah :

"Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan Allah sebaik-baik Pencipta.
Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.

Kemudian, sesungguhnya kamu akan di bangkitkan hidup semula pada hari Kiamat."
Surah Almu'minun Ayat 14 - 16.

WalLahu a'lam
Harun Noordin

2010-04-17

Senamrobik Muslimat 17/4/2010 @ 8pagi

Muslimat SP1 telah mengadakan aktiviti senamrobik sebentar tadi (17/4/2010) mulai 8:00 pagi tadi. Walaupun mislimah di SP1 tidak kerap bersua tetapi program seperti ini dapat memupok kenesraan dan persaudaraan.

Senamrobik ini diadakah di padang mainan (di antara blok C dan D). Amalan bersenam ini amatlah baik dan dapat meningkatkan kualiti kesihatan kita.

Semoga aktiviti sebegini dapat diteruskan dan ditingkatkan

Wassalam
Pengerusi

2010-04-16

Masuk Islam

Assalamualaikum sahabat2 yang dirahmati Allah,


Hari ini adalah hari Jumaat, merupakan penghulu hari dan hari raya mingguan untuk umat Islam. Sesungguhnya kita bertuah kerana telah dipilih Allah sebagai seorang Islam dan beriman kepadaNya. Ingatlah, kemuliaan seseorang dari kita di sisi Allah adalah kerana taqwa kita kepadaNya. Allah tidak menilai harta, pangkat dan kekuasaan kita tetapi amal dan keikhlasan kita.

Tidaklah kita dinamakan bertaqwa kepada Allah jika kita tidak mengambil Islam secara keseluruhannya. Allah SWT berfirman:


Mafhumnya “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqoroh: 208.

Tidaklah hairan bagi kita, jika ada yang terbabas kerana Syaitan itu sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita tanpa sedikitpun membiarkan kita ‘berehat’ tanpa gangguan. Allah memberi kita kemudahan untuk mendapatkan keampunanNya dan sesungguhnya memohon keampunan Allah amatlah mudah tetapi amat sedikit dari kita yang melakukannya.

WalLahu a'lam
Harun Noordin

2010-04-13

Keutamaan Zikir

Assalamualaikum shabat2 yang dirahmati Allah,

Kita telah diwajibkan untuk mengingati Allah dan kerja mengingati ini bukanlah kerja jasadiah tetapi kerja ruhiyah/hati. Untuk membantu hati mengingati Allah maka lidah/lisan selalunya melafazkannya. Terlalu besar faedah berzikir ini, antaranya:
  • berzikir dapat menghalau syaitan
  • mendapat keredhoan Allah
  • menghilangkan kesusahan hati dan menggantikannya dengan keriangan
  • melapangkan dada dan menenangkan hati serta menghilangkan kesakitan hati
  • menghapuskan dosa dan menghilangkan kerisauan
  • menyelamat dari siksa Allah di dunia dan di akhirat
  • terselamat dari penyakit nifaq
  • selamat dari kecewaan di akhirat
  • zikir adalah benih untuk tanaman syurga
  • dikelilingan rahmat dan kasihan belas Khaliq dan makhluq 
  • mendapat lindunagn/naungan malaikat
  • mendapatkan cahaya iman di dunia dan cahaya di dalam kuburnya
  • dan banyak lagi
Allah SWT berfirman, (mafhumnya) " Wahai orang2 yang beriman! Ingatlah Allah sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepadaNyapada waktu pagi dan petang" (Al Ahzab 41 -42).

Abud-dardak telah meriwayatkan dari RasululLah SAW, (mafhumnya):
"Mahukah kamu aku beritahu tentang sebaik-baikamalan kamu dan sesuci-sucinya di sisi Tuhan kamu dan ianya akan lebih baik  bagimu dari membelanjakan emas dan perak dan daripaa kamu menemui musuh dan menetak lehmereka atau mereka menetak leher kamu?"  
Jawab para sahabat, " Bahkan"
Bersabda Nabi, "Ingat akan Allah Taala".
(Hadis sahih dibenarkan oleh alHakim dipersetujui oleh Adz-zahabi).

Bahkan Nabi memperumpamakan hati yang mengingati Allah dengan yang tidak mengingati Allah seperti orang hidup dengan orang yang mati. Maka selalulah memohon kepada Allah supaya lisan/lidah kita lancar/lembut dan basah dalm berzikir kepada Allah.

WalLahu a'lam
Harun Noordin

2010-04-09

Sayyid Qutb

AlhamdulilLah, sempat juga membaca 'fi zilalilquran' teringat akan pengarangnya As-syahid Sayyid Qutb dan terus teringat sajaknya sebelum dihukum gantung....

Sahabat…

Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakaniah obor untuk umat ini


Dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan


Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah disyurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku

Dan berbahagialah hidupku di sana


Sahabat,
Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi

Relakan lah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

Sayyid Qutub-1966

2010-04-03

Mesyuarat Agung Surau An-Nur Saujana Puchong 1

Assalamualaikum sahabat2 yang dirahmati Allah,
Malam tadi telah diadakan mesyuarat pemilihan AJK baru Surau An-Nur SP1 bagi Jun 2010 - May 2013. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Nazir sendiri yaitu Tuan Haji Haridan Yusoff. Saudara Nashrol Azam dilantik sebagai Setiausaha sementara dan Saudara Ibrahim sebagai pengira undi.

Telah dilantik:

1. Pengerusi - Hj Harun Noordin
2. Imam - Ustaz Samsudeen Abd Aziz
3. Bilal - En Ibrahim Saleh @ Ali
4. Siak - En Azzrin bin Shaari

5. Ahli Jawatan Kuasa
  • En Osmawi Yahya
  • Tn Hj Mohd Nor Azizi
  • En Rizaludin Shah
  • Ustaz Zulkifli Osman
  • En Nashrol Azam Zainal Abidin
  • En Ahmad Rashidi Zaibidin
  • En Mazlan Mustaffa
  • En Roslan Mohamad
  • En Ismail Mohd Salleh
  • En Mohd Kamal Ibrahim
  • En Shahidan Dolmat
  • En Ibrahim Muslim
  • Ybhg Datin Norizan Abu Bakar
  • Pn Fatimah Zaharah A. Bakar
Pemilihan Setiausaha, Bendahari dan Pemeriksa kira-kira adalah dari kalangan 14 AJK yang telah dipilih.

Semoga AJK yang baru dapat memenuhi amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Wassalam