Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2009-05-31

Ziarah Kubur

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dikasihi Allah, menziarahi kubur adalah satu tazkirah dan sewajarnyalah kita melakukannya semata-mata untuk mengingatkan kita yang kita akan dikembalikan ke pada Allah jua.


Doa yang dibaca semasa menziarahi kubur atau melaluinya adalah, "Assalamualaikum ahli negeri ini (kubur), dari kalangan orang-orang yang beriman dan Islam, sesungguhnya dengan izin Allah akupun akan mengikuti kalian kelak. Semoga dianugerahi Allah kepada kami dan kalian akan kekuatan (a'fiah hidup di alam barzakh)."

Semoga kita insaf yang kita akan mengalami kematian tidak lama lagi.....

Wallahu a'lam

HBN

2009-05-30

Walimah


Assalamualaikum ww

Sahabat2 yang dirahmati Allah, salah satu tanda kekuasaan Allah ialah menjadikan pasangan untuk lelaki dari kalangan perempuan (juga di kalangan manusia) untuk memenuhi keperluan 'mawaddah' dan 'rahmah'. Diriwayatkan oleh banyak penulis sirah, Nabi SAW berkahwin semasa berumur 25 tahun (tahun qamariah), umar yang amat sesuai untuk seorang lelaki memulakan alam perkahwinan.
Sheikh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya, "tarbiatul awlad" menyimpulkan yang perkahwinan itu adalah fitrah kepada kemanusiaan dan menjadi maslahah kepada manusia sebagai:
a. Saluran yang sah melahirkan zuriat manusia
b. Memelihara salasilah keturunan manusia
c. Memelihara masyarakat dari gejala tidak bermoral (zina)
d. Memeliharan masyarakat dari penyakit

(terutama kesan dari perzinaan dan hubungan bebas lelaki-perempuan)
e. Ketenteraman rohani dan naluri
f. Membentuk kerjasama di antara suami isteri

(terutama dalam urusan rumahtangga dan pendidikan anak-anak)
g. Menyuburkan rasa belas dan kasih-sayang dalam institusi keluarga.

Oleh itu, menghadiri majlis kenduri perkahwinan bukan sekadar untuk "melepas batuk di tangga" tetapi sebagai menyokong satu sunnah yang amat dituntut oleh Islam.

Ketika cuti sekolah ini, banyaklah kita menerima undangan ke majlis perkahwinan. Sebaiknya kita memenuhi undangan ini dan elakkan mengada-adakan majlis di luar peraturan yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.

WalLahu alam.

HBN

2009-05-25

Tabung Rumah Anak-Anak Yatim

Assalamualaikum w.b.t.,

Tabung Rumah Anak-Anak Yatim Anjuran Muslimah SP1

1. Kutipan sumbangan akan dibuat semasa "Program Ziarah" di rumah Pengerusi Persatuan Penduduk Islam SP1, Sdr Harun bin Noordin pada 28 / 05 / 09 (Lepas Isyak).

2. Sumbangan dalam bentuk wang tunai amat dialu-alukan.

3. Untuk makluman, setakat ini kami hanya menerima sumbangan daripada seorang sahaja ahli iaitu akhi Tajuddin. Semoga ahli-ahli yang lain akan turut bermurah hati menghulurkan derma supaya projek ini dapat berjalan dengan lancar.

Sekian, terima kasih.
p/s Jangan lupa bawa dompet (berisi wang).

Biro Kebajikan Muslimah SP1.

Sunnah Adalah Jalan Nabi Menuju Ke Syurga


Assalamualaikum ww

Sahabat2 yang kasihi,
RasululLah s.a.w. adalah rujukan kita dan panduan yang digariskan oleh RasululLah itulah yang kita turuti. Mungkin ada di kalangan kita yang lebih 'seronok' beramal dengan amalan 'ciptaan' orang lain yang dilabelkan sebagai Ustaz, Tok Guru, Wali dan sebagainya tetapi tidak merasa 'ghairah' melaksanakan satu sunnah dari sumber yang shoheh.

RasululLah s.a.w. perrnah menegur para sahabatnya yang ingin melaksanakan amalan yang 'extreme', ini berlaku apabila ada di antara para sahabat baginda merasakan ibadah mereka sangat sedikit berbanding dengan Rasulullah sehinggakan mereka ingin bersolat malam terus menerus, berpuasa sepanjang masa dan tidak mahu berbuka serta ingin menjauhi wanita dan tidak ingin berkahwin selama-lamanya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a bahwa dia berkata Rasulullah saw. telah datang kepada mereka seraya berkata,

“Ketahuilah, demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut di antara kamu kepada Allah dan paling takwa kepada-Nya. Tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat, aku tidur, dan aku berkahwin dengan wanita. Maka barangsiapa yang membenci sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dikatakan Iblis menyesatkan hamba Allah dalam ibadah dalam 2 cara:
1. Bukan ahli ibadah - disesatkan dengan melalaikannya sehingga lupa atau tidak langsung tunduk kepada Allah.
2. Ahli ibadah - disesatkan supaya beramal berlebih-lebihan sehingga keluar dari perintah Allah dan NabiNya tetapi merasakan ialah orang yang paling banyak amalnya.

WalLahu a'lam

HBN

2009-05-22

Penyakit Satu Tanda Azab (Salam Harvard 5)


Assalammualaikum,

Minggu ini minggu terakhir. Suhu masih dingin dan kadang kala hujan (15-16 c). Yang sedapnya bila matahari cerah tapi suhunya masih dingin. Subuh memang cepat 3.45 dan terbit fajar 5.20 pagi manakala Maghrib 8. mlm dan Isya' 9.40 mlm.

PENYAKIT SATU TANDA AZAB

2. Nampaknya sudah ada kes kedua N1H1 pada minggu lepas di Malaysia dan sekiranya tiada kes baru Kem.Kesihatan kata Malaysia bebas dari virus tersebut. Di sini nampaknya macam biasa sahaja. Semua sekolah, kolej dan public macam biasa. Tiada apa-apa sekatan atau yang pakai mask. Malah orangpun sudah tidak lagi bercakap mengenai swine flu lagi. Masa balik nanti berkemungkinan besar akan melalui tapisan yang agak rapi di KLIA.

3. Insya Allah oleh kerana tempoh kursus saya telah tamat saya akan balik pada Sabtu ini dan saya sampai pagi Isnin. Balik saya kerana tamat kursus dan balik untuk menyambung tanggung jawab dan kembali bertugas. Pastinya ia bukan kerana ingin lari dari taqdirnya. Elok dikongsi hadis berikut:

Hadis Usamah bin Zaid r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Penyakit taun itu adalah satu tanda atau azab yang dikirimkan kepada Bani Israel atau kepada kaum yang sebelum kamu, maka apabila kamu mendengar khabarnya janganlah datang ke tempat itu dan jika taun itu berjangkit di mana kamu berada, maka janganlah kamu lari daripadanya.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4108


Hadis Abdullah bin Abbas r.a:
Di ringkaskan maksud Umar bin Al-Khattab pernah pergi ke Syam. Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berbincang dengan para sahabat Muhajirin yang pertama dan mereka telah berbeza-beza pendapat. Kemudian berbincang dengan para sahabat Ansar dan sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah? Umar menjawab: Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain. Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga? Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf berkata pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya. Mendengar kata-kata itu Umar bin Al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu
Hadis Penuh Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4114

Memahami Dunia Kapitalis

Dalam dunia yang kompetetif dan global ini, siapa yang ada pengetahuan, rajin, tinggi disiplinnya, mempunyai 'strategi', sentiasa berfikir, bermakna ia akan menguasai ekonomi dunia. Contohnya Singapura,.. mendatang Cina.

Bagi masyarakat, sekiranya tidak menguasai ilmu, masyarakat itu akan mundur. Akhirnya mereka yang berilmu akan menguasai mereka yang kurang ilmunya. Maka negara itu masih mundur dari aspek kemudahan asas, kebersihan, kesihatan, kehidupan berkeluarga dll walaupun banyak hasil mahsulnya. Ini banyak berlaku kepada dunia ke 3 (termasuk middle east).

Oleh kerana sentiasa memikirkan bagaimana untuk mengaut keuntungan, kadang kala manusia lupa akan tanggung jawabnya sebagai khalifah di muka bumi ini. Meskipun ada yang kaya raya, namun ramai juga yang rugi atau miskin kerananya. Maka manusia di dunia ini kadang kala terpedaya dan sibuk dengan kehendak nafsu dan sebenarnya lebih mementingkan diri sendiri.

Marilah Menuju Kejayaan

Sebagai individu Muslim, adalah tanggungjawab kita meyakinkan bahawa dengan ad din, hidup kita juga berjaya. Kita ingin tunjukkan bahawa individu yang berjaya itu ialah yang menegakkan solah... seperti yang sentiasa dilaungkan oleh muazzin (..marilah menuju kejayaan..).

Gunakan masa senangmu

Dari Ibn Umar r.a., katanya : " Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ' Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ' Maka Ibn Umar berkata : "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati".

Teringat saya hadis yang selalu disiarkan dalam radio IKIM, tentang lima sebelum lima. Maksudnya mengenai peringatan terhadap muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati...

Wallahu 'alam.

Dato' Penasihat

Malam Jumaat


Assalamaualaikum,

Amalan biasa di kalangan masyarakat Melayu membaca surah Yaasin, bertahlil dan berdoa untuk keselamatan di dunia dan akhirat - khusus untuk diri sendiri, keluarga dan sanak sau dara yang telah meninggal dunia.

Tidak cukup dengan zikir, ianya pasti diuruti dengan jamuan samada yang ringan atau yang berat. Keadaan ini biasa berlaku di masjid, surau atau di rumah. Jika perkara wajib atau sunat pun jarang kita (ambil) tahu nasnya, apatah lagi perkara uruf seperti ini bilakah ianya bermula. Tidak tahu di mana sumber dan bila sebenarnya ianya mula diamalkan di nusantara ini.

Hakikatnya ia terus berlaku dan berlalu tanpa ada pihak mengkaji secara tepat akan perkara ini. Adalah lumrah surau dan masjid dihadiri lebih ramai jamaah pada malam jumaat. Kita merasakan adanya kebaikan dalam amalan yang telah berakar umbi dalam masyarat dan yang penting kita isikannya dengan sesuatu yang lebih baik.

Ziarah SP1 untuk bulan Mei adalah seperti berikut:

Tarikh: 28/5/2009
Masa: Lepas Isyak (malam jumaat)
Tempat: No 21 Jalan SP 1/7 Saujana Puchong (rumah Akh Harun)
Agenda: Zikir, Taaruf, Perbincangan
(diikuti dengan jamuan ringan adanya)

Wassalam

Pengerusi

2009-05-19

Kelas Feqah (Rabu malam - malam ini)

Assalamualaikum,

Sahabat2 yang dimuliakan, jadual kelas feqah mingguan adalah seperti berikut:

Kelas Feqah
Tarikh: 20/5/09 (Rabu)
Masa: lepas solat isyak
Tempat: Surau Annur SP1
Penyampai: Ustaz Samsudeen


Kehadiran semua muslimin dan muslimat amatlah dialu-alukan.

Wassalam
Pengerusi

2009-05-18

Guru dan Cikgu


Assalamualaikum

Sahabat2 yang dikasihi,
Guru yang Maha Agung ialah Allah yang mengajar manusia dengan pena, alQuran, alam ini dan segala-galanya
Guru yang paling sempurna ialah Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda ada tauladan terbaik yang mesti diikuti yang menjadi menjadi rahmat untuk alam ini.
Guru pertama kita ialah ibu dan bapa yang mendidik samada kita menjadi beriman atau Yahudi atau Kristian atau Majusi yakni samada menjadi baik atau jahat.
Guru yang mengajar kita tentang kehidupan adalah Pengalaman kita sendiri.
Guru yang lainnya adalah penyuluh ke arah yang diajarinya.

Guru oh Guru!

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Wassalam
Pengerusi

2009-05-16

Mencegah Kemungkaran


Assalamualaikum

Sahabat yang dirahmati Allah,
Mencegah kemungkaran itu ada sesuatu yang wajib dilakukan seiring dengan menyuruh kepada kebaikan. Ini sesuai dengan pesan Nabi SAW melalui sahabat Abu Sa’id al-Khudri r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa); maka sekiranya dia tidak mampu, (hendaklah dia mengubahnya) dengan lidahnya(nasihat) dan jika dia tidak mampu (juga), (hendaklah dia mengubahnya) dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”. (diriwayatkan oleh Muslim)

Walau bagaimanapun kita perlu mengetahui hak dan tanggungjawab kita semasa mencegah kemungkaran yakni jangan sampai kita pula menceroboh hak orang lain yang juga satu kemungkaran.

Jika kita mendengar aduan atau berita dari seseorang tentang sesuatu maksiat/kemungkaran perlulah diselidiki tanpa prejudis dengan tuduhan tersebut supaya kita dapat berlaku adil. Ingatlah yang kita di Malaysia ini mempunyai undang-undang untuk dipatuhi.

Bacaan tambahan sila ke sini.


Wallahu a'lam.
Pengerusi

2009-05-14

Nur Islam Menyinari Hati di SP1


Assalamualaikum w.b.t.

Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. dengan kurnianya pada hari Jumaat 8/5/09 yang lepas, beberapa wakil Muslimah dari Persatuan Penduduk Islam SP1 telah mengunjungi Puan Ri (bukan nama sebenar), seorang Kristian yang telah mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam. Dengan izin Allah s.w.t. wakil Muslimah telah mengajar beliau menyempurnakan ucapan dua kalimah syahadah serta memberi sumbangan material berbentuk Islamik untuk membantu beliau mendalami agama Islam yang suci ini, insyaallah.

Ri, 20an adalah seorang Iban yang berasal dari Sarawak. Beliau telah menetap di SP1 selama lebih kurang tiga tahun bersama suami dan dua anaknya, masing-masing berumur antara 2 dan 5 tahun. Ri adalah seorang pagan sebelum berkahwin dengan suaminya dan memeluk agama Kristian. Walaubagaimanapun, dengan izin Allah s.w.t., sejak beliau berhijrah ke SP1, pintu hatinya telah terbuka untuk menerima Islam.

Cerita Ri memang unik. Menurutnya, sewaktu beliau sekeluarga sedang membeli-belah di pasaraya Tesco dan membelek-belek buku di sebuah kedai, beliau telah terpandang gambar Kaabah yang terdapat di situ. Tiba-tiba hatinya terdetik dan mulutnya terus terpacul perkataan "Ya Allah". Rasa syahdu, rindu dan melankolik mula menguasai dirinya. Sejak itu, beliau terus mencari-cari jawapan disebalik perasaan tersebut. Ternyata perasaan itu akan muncul setiap kali beliau mendengar laungan azan samada dari surau SP1 mahupun di kaca TV.

Tidak berpuas hati setakat itu, beliau mendapatkan bantuan daripada pembantu rumah yang tinggal berdekatan. Melalui dialah, Ri mula mengenal Islam dengan lebih dekat. Ri diajar mengucap dua kalimah syahadah, mengangkat hadas dan mendirikan solat. Dia juga telah menghadiahkan Ri sepasang telekung yang digunakan untuk bersolat.

Sejak itu, Ri tidak pernah lagi meninggalkan solat. Katanya, beliau akan menangis setiap kali beliau sujud kepada Allah. Tiada kata yang dapat menggambarkan indahnya perasaan seorang hamba yang telah dipilih oleh Penciptanya untuk mengagungkan dan mengEsakanNya. Pernah beliau bangun pada jam dua pagi untuk menunaikan solat tahajud, walaupun solat beliau hanyalah setakat pergerakan dan ucapan al-Fatihah.

Wakil Muslimah, melalui sumbangan peribadi seorang dua hamba Allah telah berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM53.00. Melalui sumbangan tersebut, kami telah membeli senaskhah Al-Quran dan terjemahan, sehelai sejadah, sekeping VCD solat untuk wanita, sebuah buku bertajuk Menempah Jalan Ke Syurga dan sesalinan nota tentang akidah yang disumbangkan oleh Puan Linda.

Ri telah menangis teresak-esak sebaik beliau mengucap dua kalimah syahadah di hadapan kami. Kami membiarkan beliau dibuai perasaan. Setelah tenang, beliau memberitahu kami, bahawa doa beliau supaya Allah menghantar seseorang untuk membantu beliau mendalami agama Islam telah dimakbulkan. Kami juga bersyukur kerana doa kami untuk setidak-tidaknya dapat mengIslamkan seorang kafir sepanjang hidup ini telah dimakbulkan Allah s.w.t.

Setelah kepulangan kami ke rumah masing-masing, barulah Ri teringat mimpi beliau pada malam sebelumnya. Beliau bermimpi didatangi ramai wanita ke rumah beliau dan menghadiahkan beliau Al-Quran, sejadah dan buku. Sekali lagi air mata Ri tertumpah. Sesungguhnya Ri tidak pernah mengalami situasi seperti ini semasa beliau menganut agama Kristian. Pada waktu itu, jiwanya kosong dan beliau sering merasa putus asa dengan kehidupan ini.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya Allah mengukuhkan iman saudara baru kita ini dan memberi hidayah kepada suaminya untuk mengikut jejak langkah Ri. Jangan lupa untuk terus membantu dan memantau keadaan beliau dari semasa ke semasa. Semoga kita juga beroleh saham daripada pengIslaman Rini. Amin.

Dalam perkembangan lain, Wakil Muslimah bercadang untuk melawat dan memberi sumbangan ikhlas kepada sebuah rumah anak yatim pada bulan Jun ini. Sumbangan berbentuk wang ringgit, buku-buku terpakai (buku pelajaran atau buku cerita juga diterima), pakaian, beras, gula, tepung atau apa-apa sahaja yang dapat dimanafaatkan oleh penghuni rumah anak yatim tersebut adalah dialu-alukan. Tarikh kutipan sumbangan akan diberitahu kelak. Derma yang ikhlas menyucikan jiwa. Insyaallah.

Sekian,
Bagi pihak Muslimah
Persatuan Penduduk Islam SP1

Satu cerita yang menarik di sini.

2009-05-12

Aktiviti Hujung Minggu

Assalamualaikum

Sahabat2 yang dikasihi.

Insya Allah pada hujung minggu ini akan diadakan:

1. Gotong Royong membersih dan mengecat surau
Tarikh: 16/5/09 Sabtu
Masa: 09:00 pagi
Penyelaras: Akh Azizi

2. Kuliah Subuh
Tarikh: 17/5/09 Ahad
Masa: 06:00 pagi
Penyampai: Ustaz Zulkifli

Semoga kedua-dua aktiviti ini dirahmati Allah.

Wasslam

Pengerusi

2009-05-11

Pengusaha dan Pengguna (Salam Harvard 4)


Assalammualaikum.

Minggu ini cuaca di sini sudah beransur panas. Dalam seminggu dua ini sejuknya macam Cameron Highland (18-20c) kira sejuk-sejuk kuku sajalah. Pendimec swine flu pun nampaknya sudah tidak menjadi berita lagi. Insyaallah kalau rajin ada satu lagi isu yang ingin dikongsikan. Jika tidak mungkin ini yang terakhir sebelum saya balik hujung minggu depan.

Pengusaha dan Pengguna.

Di sepanjang beberapa minggu lepas saya belajar bagaimana konglomerat global mempengaruhi pengguna dengan pelbagai strategi. Antara jenama dan syarikat yang dikaji termasuklah Nike, Starbuck, NutraSweet, Gucci, JumboJet, Dove, Airbus, Wall Mart dll.

Beberapa fakta yang ingin dikongsikan:

Tahukah Anda

i. Pemanis Tiruan

Pemanis tiruan banyak digunakan dalam makanan dan minuman yang disebut Aspartame mengandungi L-aspartic dan L-phenylalanine mempunyai 180 kali lebih manis drpd gula. Ada sejenis lagi iaitu sacharin ini 300 kali lebih manis drpd gula. Ia diharamkan kerana dikaitkan dengan kanser.

Pemanis tiruan banyak digunakan dalam minuman spt Coke dan Pepsi, ajinomoto dll. Jenama yg diguna utk pemanis ialah Pal Sweet, Pal Sweet Diet, Equal, Nutra Sweet dll yg biasanya banyak terdapat di hotel. Rasanya bahan kimia ini juga digunakan utk memaniskan jeruk yang masam. Syarikat yang mendominasikan perniagaan ini ialah Nutra Sweet (USA) dan The Holand Sweetener Co.

ii. Starbuck

Starbuck memperoleh keuntungan bersih lebih 25 billion setahun. Perniagaanya hanya minuman dan kopi espresso, toffee nut latte, frappucino dll. Syarikat ini menambah pelaburan lagi sebanyak 40 m untuk menguasai pasaran dunia. Sasaran utama ialah anak muda dengan gaya hidup moden dan dunia IT. Strateginya perniagaannya ialah menggunakan 'branding' dengan mengenakan harga yang tinggi dan dikaitkan dengan gaya hidup anak muda di bandar.

iii. Nike

Seperti juga Starbuck, Nike dikaitkan dengan jenama bagi seorang juara. Syarikat ini diterajui oleh Phil Knight seorang yang hanya meminati sukan. Namun berupaya memperkenalkan jenama kasut dengan mereka bentuk kasut sukan kepada ahli sukan. Sasaran asalnya ialah 'high end'. Apabila berjaya baharulah ia mengeluarkannya dengan banyak dan pelbagai jenis pakaian sukan dan kasual hingga yg lower end.

Berdasarkan beberapa syarikat yang dikaji, didapati mereka sememangnya:
i. sentiasa mengkaji tabiat dan kecenderungan pengguna.
ii. menggunakan pelbagai strategi untuk memasarkan produk.
iii. terdapat trend atau pola pengguna yang boleh diramal
iv. menggunakan emotional attachment bagi setiap jenama.

Sebenarnya banyak barangan yang kita guna di Malaysia sebenarnya francise/ under licensed kepada syarikat di USA spt minuman jus Tropicana, cokelat, cereal, syampoo dan sabun dll. Bayangkan sekarang ini, sesuatu barangan itu diperkenalkan adalah untuk global market dan pulangannya juga lumayan. Kelebihan Amerika kerana penduduknya ramai dan apabila mereka menguasai pasaran Amerika mudah bagi mereka untuk beralih ke global.

Moralnya, jika rakyatnya ramai kemungkinan untuk bisness berjaya amat signifikan. Pun begitu jika individunya tiada nilai 'ehsan' dalam dirinya, ia akan bertindak tanpa batasan. Sama seperti jatuhnya syarikat Enron dengan CEOnya, Knneth Lay gergasi gas di US dan dunia yang mempunyai modal 100.7 billion.

Sekian. Sekadar perkongsian ilmu...!

Dato' Penasihat

2009-05-08

Allah Maha 'Adil


Assalamualaikum

Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Saya pernah tanyakan definasi "keadilan Tuhan" semasa berusrah pada zaman persekolahan dulu......

Naqib: " akhi, anta masih tak yakin dengan keadilan Allah?".
Saya: "bukan tak yakin, tapi biarlah ada yang dapat menenangkan hati ana ni..."
Naqib: "apa yang anta makan tengahari tadi? "
Saya: "makan nasi biasa (asrama) goreng ayam, sayor dan buah"
Naqib: "anta sedar tak masa makan tu tak semua dapat makanan yang sama, dan ada yang tak larat nak makan?"
Saya: "ana sedar tu, tapi apa kena-mengena dgn orang yang tak dapat nasik langsung dengan orang ada makanan didepan mata dan sedap pulak tu?"
Naqib: "akhi, anta kena tengok dengan MATA HATI bukan dengan mata zahir, berapa kerap kita tersalah pandang jika semata2 pandangan kita dengan mata zahir. kedua2nya tak makan, malah kekadang tu derita orang ada makanan tapi tak boleh makan lebih teruk lagi dan hampir tak ada bezapun yang ada nasi atau tidak kerana definasi rezeki tu adalah apa-apa yang telah dimanafaatkan"
Saya: "Tapi akhi, cuba bayangkan seorang kafir di Kutub Utara dan seorang kafir di Malaysia, tetapi di Kutub Utara tak pernah dengar syariat Islam dan di Malaysia dah ada program dakwah, tetapi kedua2 mati kafir dan mendapat tempat yang sama (neraka)?"
Naqib: "adakah anta telah pasti kedua2nya masuk neraka?"
Saya: "Ana tak pasti...."
Naqib: "Anta rujuk ayat 62 surah albaqoroh"(lalu saya buka terjemahan alquran yang saya bawa)
Saya: "Adakah ini bermakna Yahudi, Nasrani dan Sabiin ni masuk syurga?"
Naqib: "Tidak juga tetapi bagi yang telah menggunakan segala ikhtiarnya dan berusaha bersungguh beriman dengan Allah dan tidak menyegutukanNya tentunya tidak akan berdukacita di akhirat kelak. Anta kena baca tafsir Ibn Katsir atau setidak-tidaknya Tafsir Alazhar nanti akan jelas"
Saya: "Akhi, ana masih tak jelas...."
Naqib: "Anta kena memahami akan sifat Allah dan itu yang silibus kita tekankan perlunya duat memahami konsep asas Islam seperti sifat-sifat Allah yang dibahagi oleh ulama kepada 3: 1. Sifat Rububiah, 2 Sifat Uluhiah dan 3. Asma wa sifat. Membezakan sifat makhluk yang adam dan khaliq yang qidam serta memahami akan sifat sementaranya alam ini pastilah anta akan melihat sifat kesempuraan Allah yang maha Adil. Tadabbur alam seperti bermusafir akan menyebabkan anta lebih memahaminya.."
Saya: "Tapi ramai yang tak berpuas hati bagaimana...."
Naqib: "Manusia memang diciptakan dengan nafsu dan keluhkesah untuk mentadbir dunia ini. Jika tak adalah manusia bernafsu dan berpuashati dengan apa yang ada maka dunia ini tak akan ada perubahannya. Dari perubahan yang dibuat oleh manusia itu Tuhan menentukan dianya ditempatkan di syurga atau nereka. Supaya Tuhan berlaku adil kepada hambaNya yakni diberi kuasa ikhtiar (memilih) dan hasil bergantung kepada amalnya. Manakala manusia akan benar-benar berpuashati bila tanah dah disuapkan dalam mulut dia (mati)..."

Nota: Banyak yang saya tambah kerana nota saya ringkas saja, tetapi mafhum dialog usrah saya macam itulah lebih kurang. Kalau ada yang tak "puas hati" kita berdiskusi lagi.

WalLahu a'lam

HBN

2009-05-06

Keampunan Tuhan


Assalamualaikum ww

Sahabat2 yang dikasihi, bak kata pepatah, "bumi mana tak ditimpa hujan, manusia mana tak melakukan kesilapan". Kesilapan yang dilakukan samada disengaja atau tidak, samada dilakukan kerana jahil (tak tahu) atau tidak semuanya perlu dimohonkan keampunan. Jika memahami ma'rifat Tuhan, kesalahan dengan Allah lebih mudah kita berurusan. Tetapi jangan pula sampai mempermainkan Khaliq.

Semua yang berada pada alam ini adalah milik Allah dan kesalahan yang dilakukan kepada makhluk (hatta pada diri sendiri) maka kepada Allahlah jua kita meminta ampun. Ingatlah Allah itu Maha Penyayang dan Maha Penerima Taubat. Sungguhpun begitu kitaa masih perlu menyelesaikan semua tuntutan makhluk di atas kesalahan kita. Hikmah dan kebijaksanaan dan urusan ini amatlah penting supaya tidak memberatkan lagi keadaan.

Surah Ali Imron, ayat 135:
"Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui."

Tulisan ringkas dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan perkara ini amatlah elok difahami.

WalLahu 'alam

Harun Noordin
SP1