Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2010-08-31

Iftar dan Sambutan Hari Kemerdekaan

Assalamualaikum ww,
AlhamdulilLah, kita sudah berada pada 21 Ramadhan dan pada hari ini 31 Ogos 2010 adalah ulang tahun KEMERDEKAAN Malaysia ke53. Serentak dengan itu, Surau An-Nur SP1 akan mengadakan majlis berbuka puasa dan doa selamat.

Majlis Berbuka Puasa:
Tarikh: 21 Ramadhan 1431 / 31 Ogos 2010
Masa: 7:00 petang
Agenda:
  • Tahlil & doa selamat
  • Berbuka puasa
  • Solat Maghrib
  • Makan
  • Solat Isyak
  • Solat Tarawikh
  • Tazkirah Kemerdekaan
  • Bersurai
Dijemput muslimin dan muslimat kariah Surau An-Nur SP1 datang bersama keluarga ke majlis ini. Maklumkan juga kepada jiran tetangga.

Semoga majlis ini diberkati Allah.

Wassalam
Pengerusi

Albaqoroh:21

Assalamualaikum ww,

Mafhumnya: "Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Ayat ke 21 ini Allah menyeru kepada seluruh manusia tanpa mengira samada ianya orang beriman atau kafir atau munafik kepada satu perkara penting, yakni untuk mengabdikan diri hanya kepada Tuhan yang telah menjadikan manusia bukan tuhan yang dibuat2 atau dihormati kerana kekuasaan memberi mudhorat saja.

Penciptaan manusia yang dahulu adalah sebagai sejarah dan pemerhatian kepada manusia hari ini supaya mengambil pengikhtibaran dalam hidup. Allah menerangkan sifat RububiahNya untuk kesedaran kepada manusia akan sifat Uluhiah Allah.

Islam adalah agama berlandaskan fakta yang jelas supaya mudah manusia memahaminya.

WalLahu a'lam
HBN

Albaqoroh:20

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Kilat itu pula hampir-hampir menyambar penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka, mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan-Nya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Allah memberi perumpamaan bagi yang mahu berfikir yakni bukan sekadar perumpamaan kilat kebenaran dengan orang munafik tetapi bagaimana kilat ini amat diperlukan pada waktu kegelapan.

Allah amat berkuasa sehinggakan kilat yang bergiru jauh boleh terasa sepeti di depan mata. Kebenaran ini amat sudar dirasai sebagai kekuasaan Allah malah golongan kufur ini mengatakan ianya hanyalah tabie/semula jadi.

WalLahu a'lam
HBN

Albaqoroh:19

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Atau seperti (orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jari mereka ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati, sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang yang kafir itu."

Betapa ramai manusia yang menutup teliga dari kebenaran, seolah-olah kebenaran itu halilintar yang membelah. Mereka takut bila kebenaran itu mereka terima maka segala keburkan dan kebusukan mereka terserlah (walaupun orang lain sudahpun nampak akan keburukan itu).

Lakulah berapa hebat sekalipun amalan "kebaikan" jika hati telah dipalut kemunafikan hasilnya hanyalah kepenatan luaran. Bagi mereka ramadhan dan bulan-bulan lain adalah sama. Janji Allah dengan lailatulqadar tidak lebih hanyalah motivasi kehidupan. Mereka tidak akan berlumba-lumba mengejar fadhilat ramadhan kerana hati sudah tandus dari kebaikan.... mereka buta akan kebenaran!

WalLahu a'lam
HBN

Albaqoroh:18

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran)."

Kini kita kita susah berada di sepuluh malam terakhir Ramadhan. Malam untuk menambah akaun akhirat dengan segala tumpuan ibadah khususiah sebagai jalan untuk menambahkan ketaqwaan kepada Allah. Nabi SAW menasihati kita supaya mecari malam "alqadar", yang mana ganjaran beribadah di dalamnya lebih baik dari 1000 bulan.

Semoga dengan ini kita diberi taufiq dan hidayah oleh Allah agar tidak di"pekak", di"bisu' dan di"buta" Allah dari kebenaran seperti golongan munafiqin.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-27

Albaqoroh:17

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun)."

Malam ini adalah malam nuzululquran di mana 1444 tahun yang lalu Nabi SAW telah menerima wahyu pertama yang merupakan 5 ayat pertama surah al Alaq. Bukan saja sejarah ini perlu dikenang tetapi menghayati Alquran dalam kehidupan seharian itulah yang perlu dilakukan.

Alquran bukan sekadar untuk diingati hari penurunannya atau sekadar untuk dibaca secara lunak tetapi untuk diamalkan. Inilah tuntutan wajib dari Allah SWT. Jika tidak seumpama golongan munafik yang mendapat cahaya tetapi dipadamkan oleh Allah SWT dan tinggallah mereka dalam kegelapan tanpa petunjuk.

Ya Allah rahmatilah kami dengan alQuran
Jadikanlah alQuran itu bagi kami sebagai imam (pemimpin), cahaya, petunjuk dan rahmat..... Amin

WAlLahu a'lam
HBN

Albaqoroh:16

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah."

Ini adalah perumpamaan jualbeli yang paling buruk, sudahlah tidak akan beroleh keuntungan manakala yang dibeli pula adalah kesesatan (kekufuran).

Ya Allah berilah kami petunjuk.

WalLahu a'lam
HBN

Albaqoroh:15

Assalamualaikumww

Mafhumnya: "Allah (membalas) memperolok-olokkan mereka, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu)."

Inil;ah balasan Allah di dunia kepada orang-orang yang mempermainkan Allah dan orang2 beriman sebelum mereka ditimpakan azab yang pediah di akhirat nanti.

Semoga Allah melindungi kita ....

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-24

Albaqoroh:14

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman, dan manakala mereka kembali kepada Syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang yang beriman)."

Allah menceritakan sifat orang munafik bila bertemu dengan orang-orang beriman dan kumpulan mereka. Sikap "double standard" mereka  akan kelihatan lebih jelas dalam kehidupan beragama.

Hari ini adalah 14 Ramadhan, bermakna telah separuh Ramadhan berlalu. Kita sering mendengar, Ramadhan itu dibahagi kepada 3 fasa:
            1. Rahmat
            2. Pengampunan
            3. Pelepasan dari api neraka
Kini kita berada dalam fasa pengampunan Allah dari dosa-dosa yang lalu semoga Allah mengampun dan memaafkan kita.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-23

Albaqoroh:13

Assalamualaikum ww
al

Mafhumnya: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang itu telah beriman. Mereka menjawab: Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu? Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui."

Umat Islam menyeru manusia kepada Islam dengan pelbagai cara, ini antara satu kaedah dakwah kepada golongan munafik. Tetapi munafik tegar akan merasa penganut Islam adalah sebagai golongan bodoh tapi apakah alasannya mengatakan demikian melainkan mereka benar2 jahil tentang kehidupan lebih parah lagi tentang kehidupan selepas mati.

Golongan munafik hanya memikirkan keuntungan material duniawi, tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Inilah yang dikatakan kebodohan oleh golongan mnafik itu.

WalLahu a'lam
HBN 

2010-08-22

Albaqoroh:12

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang yang sebenarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya."

Golongan munafik kufur ini membuat kerosakan tanpa menyedarinya kerana mereka mersakan apa yang telah mereka lakukan adalah "kebaikan" kerana kebusukan jiwa mereka tidak dapat merasakan kerosakan itu. Mereka tidak mempedulikan laungan dan seruan keadilan tetapi nafsu sarakah merekalah yang diutamakan.

Lebih malang lagi kerosakan itu bukan saja akan menimpa diri orang lain malah diri mereka sendiri. Dalam sejarah kerajaan Islam di Baghdad, Melaka, India, Turki dan berterusan hingga sekarang menunjukkan  kejatuhan kerajaan adalah disebabkan oleh golongan munafik dan kehancuran juga mengenai golongan yang belot ini.

Ramadhan begitu pantas berlalu, kita sudah menghampiri pertengahannya, namun jika tamrin ini belum begitu berkesan, maka usahakanlah mempertingkatkan ibadah dan mohonlah kepada Allah agar segala sifat mazmumah dikikis keluar dari hati nurani supaya nur qalbu kita lebih cerah dari sinar syawal nanti.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-21

Albaqoroh:11

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: sesungguhnya kami orang yang hanya membuat kebaikan."

AlhamdulilLah kita sudah melepasi 10 hari (fasa) pertama Ramadhan tahun ini, dalam fasa pertama Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita dengan semangat dan 'bekalan tenaga' dari bulan Syaaban, kini bekalan tersebut sudah 'hampir habis' hanya kekuatan kekuatan Iman dan Amal akan membuahkan hasil meraih pengampunan dosa-dosa kita yang telah lalu. Fasa ini menjanjikan cabaran yang lebih kuati fasa pertama. Kita akan menyaksikan kehadiran jamaah di Masjid dan Surau bertambah kurang, ini adalah proses penapisan yang dilakukan oleh Allah supaya yang benar2 berkualiti niat dan amalnya akan meneruskan ibadah dengan cemerlang.

Ayat kesebelas surah alBaqoroh masih berkenaan orang2 munafik. Ulama2 tafsir menerangkan 20 ayat pertama surah alBaqoroh dengan pecahan berikut:
Ayat 1 - 5: sifat2 orang beriman
Ayat 6 - 7: sifat2 orang kafir tegar
Ayat 8 - 20: sifat2 orang munafik "talam dua muka", luaran nampak beriman/baik tetapi dalaman bersifat kafir tegar/jahat sejahat2nya.

Telah banyak kerosakan di mukabumi ini akibat tangan2 manusia yang mengaku menreka membuat kebaikan tetapi mereka secara jelas membuat kerosakan. Mereka mencipta segala macam senjata yang memusnahkan segalanya. Membelanjakan berbilion2 ringgit untuk 'pembangunan' tetapi sebenarnya pembaziran. Hasil negara di ambil tanpa limpahan kepada golongan yang susah/miskin. Zakat dilupakan malah cukai pun dielak supaya kekayaan hanya beredar dikalangan mereka yang kaya. Kerosakan dan penderitaan hanya untuk yang miskin dan tertindas.

Jika ditanyakan kepada mereka, "mengapa kamu membuat kerosakan ini?", pastilah mereka menjawab, "ini bukan kerosakan ketapi pembaikan, pemulihan ekonomi, mempertahankan diri".  Kebanyakan ucapan yang mereka ucapkan disebabkan mereka merasakan mereka membuat kebaikan kerana mereka telah larut dalam kemunafikan yang teruk.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-20

Albaqoroh:10

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dalam hati mereka terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta."

Tabiat menipu atau berbohong adalah sifat kemunafikan dan merupakan satu penyakit. Ianya merupakan satu penyakit jiwa dan jika terlalu parah amat sukar untuk menghilangkannya. Penyakit ini jika tidak dikawal akan menyebabkan keseluruhan sistem akhlak individu tersebut akan rosak.

Masalah ini berpunca dari jiwa (hati) yang tidak berpendirian dan takut menghadapi risiko. Manusia yang tiada keyakinan diri dan tidak sanggup menghadapi risiko adalah golongan yang tidak akan berjaya. Mereka akan menderita di dunia dan di akhirat.

Pantun Melayu ada menyebut
               Siakap senohong gelama ikan duri
                    Bercakap bohong lama-lama mencuri

Kelemahan jiwa golongan munafik bukan saja meruntuhkan sistem akhlaknya sendiri tetapi juga boleh memporak perandakan keluarga, masyarakat dan negara.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-19

Albaqoroh:9

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman sedang mereka hanya memperdayakan dirinya sendiri, dan mereka tidak menyedarinya."

Tidak semua penipuan dan tipudaya dapat dipertahankan sepanjang masa, lama kelamaan ianya pasti diketahui juga apathlagi cubaan 'menipu' Allah. Tuhan yang Maha 'Alim samada yang zahir atau yang tersembunyi. Tuhan yang memberitahu Nabi SAW komplot membunuh RasululLah samada di Makkah atau di Madinah.

Amat bebal dan jahillah manusia yang cuba memperdaya Allah. Mungkin orang2 yang beriman akan mempercayainya sementara tipudaya itu tidak terbongkar. Tetapi alangkah malunya jika tipudaya tersebut terbongkar, lebih malu lagi di Mahsyar Allah bilaman tipudaya tersebut diterangkan Allah kepada sekelian makhluk.

Tetapi golongan munafik tidak akan tahu malu di dunia ini malah mereka akan terus merancang pembohongan lain. Sia-sialah puasa jika menipu, membohong dan segala keburukan lisan masih diamalkan di bulan Ramadhan almubarak ini.

WalLahu a'lam
HBN

Albaqoroh:8

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman."

Ada sejenis manusia yang mempunyai 2 sifat yang berlawanan yakni sifat luaran dan dalaman mereka amat berbeza sekali. Luaran mereka nampak beriman tetapi dalaman mereka adalah kafir. Jenis manusia inilah yang digelar munafik. Terlalu sukar untuk manusia lain berhubungan dan bersosial dengan manusia munafik ini. Hatta golongan kafir pun kadang kadang tidak mempercayainya.

Dalam sejarah awal Islam golongan inilah yang telah merosakkan struktur masyarakat Islam yang dibina oleh Nabi SAW di Madinah. Secara luaran mereka mengaku beriman tetapi dalaman mereka bersifat kafir yang tegar. Kini golongan ini terlalu banyak dalam masyarakat, secara mudah manusia jenis ini boleh dikesan bilamana:
1. dia berjanji, dia akan memungkirinya
2. dia diberi amanah, dia akan khianat
3. dia bercakap, pasti dia berdusta/bohong.
Samada dia mempunyai ketiga-tiga sifat ini atau  salah satunya maka itulah sifat orang munafik.

Wallahu a'lam
HBN

2010-08-17

Albaqoroh:7

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar."

Kita masih dalam tarbiah Ramadhan, antara pengisian ramadhan adalah untuk membentuk keperibadian yang luhur dan ikhlas walaupun di belakang pandangan manusia. Orang yang beriman akan tetap berpuasa walaupun tidak dilihat oleh manusia kerana hatinya (perasaannya) telah tertanam sifat ihsan, yakni sentiasa merasakan Allah melihat apa yang dilakukan.

Manakala bagi orang kafir, perasaan ini telah ditutup oleh Allah, malah penglihatan dan pendengaran mereka hanyalah pada apa yang dilihat saja tanpa boleh lagi menganalisa kesan atau natijah dari apa yang dilihat atau didengar. Jika orang2 kafir melihat tanda-tanda kebesaran Allah, akal mereka tidak akan mampu melihatnya sebagai satu petunjuk kepada kebenaran wujudnya Zat yang Maha Agung.

Kadang-kadang mereka sendiri menutup pendengaran mereka dengan tangan dan kekuasaan mereka jika didatangkan hujjah dan kebenaran. Tidak hairanlah mereka akan mendapat azab seksa yang besar di akhirat nanti kerana mereka telah merasakan kebenaran itu sendiri merupakan azab buat mereka di dunia.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-16

Albaqoroh:6

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka sama ada engkau beri amaran kepadanya atau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman."

Walaupun Islam itu amat sempurna dan terbaik untuk manusia tetapi ada juga golongan yang tidak mahu menerima, mungkin kerana sikapnya sendiri atau dipengaruhi oleh syaitan dan/atau manusia lain tetapi mereka ini adalah penentang agama Allah. Golongan kafir tegar ini tidak akan boleh menerima hujjah atau nasihat malah diberi tekanan pun mereka akan kekal kepada kekufuran. Di zaman Nabi SAW, segala usaha telah dilakukan oleh Nabi SAW untuk berdakwah kepada golongan seperti ini: Abu Talib, Abu Lahab, Abu Jahal dsb tetapi seperti mencurah air ke daun keladi.

Menjadi tanggungjawab kita menyeru golongan ini samada mereka menerima atau tidak supaya di akhirat nanti kita boleh melepas diri dari dakwaan mereka. Kerana di khuatiri mereka akan mempersoalkan kita, mengapa kita tidak memberi peringatan kepada mereka!....

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-15

Albaqoroh:5

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang yang berjaya."

Kehidupan di dunia ini terlalu banyak pancarobanya dan godaan yang tidak mampu dinilai oleh akal budi jika tanpa bimbingan dari Allah. Sifat kemanusiaan mudahkan saja ditafsirkan secara sonsang oleh individu yang sudah hilang hala tujunya. Memastikan hala tuju kehidupan dengan tepat dan sentiasa berada di atas landasan yang betul adalah anugerah Allah kepada manusia.

Inilah petunjuk yang benar dan kejayaan pasti akan dapat diperolehi samada di dunia mahupun di akhirat.

WalLahu a'lam
HBN

Bubur Lambuk Daging

Resepi Bubur Lambuk

Bahan-Bahan:

1/4 kg beras [elok beras wangi ~ basuh dan toskan]
1/2 kg daging [dicincang kecil]
3 batang serai [ketuk]
8 ulas bawang merah [kisar]
5 ulas bawang putih [kisar]
1 inci halia [kisar]
2 sudu makan minyak sapi
3 sudu makan minyak kelapa
100ml pati santan
sedikit garam
air untuk merebus daging dan beras menjadi bubur.
Rempah tumis:
1 inci kulit kayu manis
2 ~ 3 kuntum bunga lawang
2 ~ 3 kuntum bunga cengkih
2 ~ 3 biji buah pelaga

Bahan rempah [ goreng kering dan mesin halus]
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh ketumbar
1 sudu tehl lada sulah
1 sudu teh lada hitam

Nota:
Kalau malas nak buat rempah tumis dan bahan rempah, gunakan saja 2 sudu besar rempah kurma.
Bahan hiasan
4 tangkai daun sup [hiris]
3 tangkai daun bawang [hiris]
Bawang goreng
CARA-CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak dan minyak sapi dalam periuk dan masukkan bahan kisar dan goreng sehingga wangi dan garing.
2. Masukkan rempah tumis, bahan rempah dan daging. Biarkan sehingga berminyak
3. Masukkan beras, serai dan air. Biarkan sehingga beras hancur dan daging lembut.
4. Bila dah beras nampak pecah, masukkan santan dan rasakan garam.
5. Bila sudah masak, hidangkan dengan bahan hiasan



2010-08-14

Albaqoroh:4

Assalamualaikum ww

Mafhumnya: "Dan juga orang yang beriman kepada Kitab Al-Qur'an yang diturunkan kepadamu, dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan adanya hari Akhirat."

Kita sudah beberapa hari menjalani ibadah puasa dan matlamat untuk membentuk peribadi muslim mukmin yang bertaqwa sepatutnya dapat disempurnakan selepas sebulan menjalani ibadah puasa. Walau bagaimanapun perkara asas untuk menjadi seorang yag bertaqwa disebut terus oleh Allah di dalam ayat2 awal surah al Baqoroh ini.

Allah menyebut antara ciri taqwa lagi adalah beriman dengan kitab-kitab termasuk jugalah suhuf-suhuf. Sudah pasti beriman dan beramal dengan alQuran adalah wajib serta kewajipan ini sehingga hari Akhirat. Hari akhirat adalah penamatan kewujudnya alam ini sebelum diganti dengan alam lain, iaitu alam pembalasan. Tidak berlaku lagi ujian tetapi hanyalah pembalasan terhadap semua perkara yang berlaku di alam ini. Allah akan menyerlahkan keadilanNya dan sifat kekuasaanNya. Beriman dengan hari Akirat adalah suatu perkara wajib sebagai pemisahkan seseorang itu dari batas iman dan kufur. Beriman inilah dinamakan taqwa.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-12

Albaqoroh:3



Mafhumnya: "Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka."

Kita sedang berpuasa ketika ini kerana Allah mahu mendidik kita menjadi orang bertaqwa. ciri-ciri orang yang bertaqwa taqwa dijelaskan Allah dalam ayat ini adalah:
1. beriman dengan perkara-perkara ghaib, yakni perkara yang tidak dapat digapai oleh pancaindera kita, keyakinan kita hanyalah berasaskan kepada kepercayaan kita akan kebenaran Nabi SAW.
2. mendiri solat, adalah perkara utama dalam amal agama sehinggakan sesiapa yang mendidikan solat seperti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat seperti meruntuhkan agama.
3. menafkah sebahagian rezeki yang diberikan oleh Allah ke jalan yang dibenarkanNya seperti nafkah harian untuk diri sendiri, keluarga, yang memerlukan dan untuk kepentingan syiar Islam.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-11

Albaqoroh: 1 & 2

Assalamualaikum ww sahabat2 yang dirahmati Allah,

Ayat 1 Surah alBaqoroh




Mafhumnya: "Alif, Laam, Miim."

Ayat 2 Surah alBaqoroh





Mafhumnya: "Kitab (Al-Qur'an) ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa."

Alquran adalah kitab terakhir yang diturunkan Allah kepada manusia melalui RasulNya, Muhammad SAW merupakan mu'jizat yang besar. Tidak seperti kitab-kitab terdahulu penuh dengan keraguan dan telah tamat kegunaannya. Menjadikan Injil, Taurat, Zabur dan buku rujukan lain sebagai panduan hidup pastilah akan bertemu dengan banyak kelemahan dan keraguan.

Allah menjamin akan kesempurnaan kitab alQuran ini sebagai satu set lengkap panduan kehidupan sehingga hari kiamat. Alquran ini menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa: taat lagi tunduk dan yang halus akalbudinya.

Wallahu a'lam
HBN

Alfatihah:7

Assalamualaikum ww sahabat2 yang dikasihi,

Mafhumnya: "(Iaitu) jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan orang yang) Engkau telah murkai, dan (bukan pula jalan) orang yang sesat."

Hari ini, 1 Ramadhan 1431 adalah hari pertama kita melakukan ibadah puasa sebagai kewajipan yang telah termaktub di dalam alQuran. Ini adalah nikmat yang telah diberikan Allah kepada kita. Nikmat yang paling besar ialah nikmat Iman dan Islam. Ini disebut Allah dalam surah alMaidah ayat 3, dimana kesempurnaan nikmat yang Allah kurniakan adalah melalui agama Islam yang dibawa oleh Nabi SAW.

Orang yang diberi hidayah agama Islam oleh Allah berada di atas jalan yang lurus. Maka berlindunglah kita dari jalan orang yang dimurkai Allah dan jalan orang-orang yang sesat. Orang yang dimurkai dan disesatkan Allah juga mungkin terdiri dari orang-orang Islam tetapi kemurkaan Allah adalah jelas untuk orang kafir dan sesat termasuklah Kristian dan Yahudi.

Berdoalah setiap hari dengan ayat 6 dan 7 surah alFatihah ini, semoga kita selamat di dunia dan akhirat. Amiin.

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-10

Alfatihah:6

Assalamualaikum ww sahabat2 yang dimuliakan,

Mafhumnya: "Tunjukilah kami jalan yang lurus."

AlhamdulilLah, kita berada di penghujung bulan Syaaban 1431H. Mungkin esok atau lusa kita akan memulakan ibadah syiam (puasa) yang merupakan rukun Islam. Makan, minum dan hubungan seksual adalah fitrah kehidupan manusia tetapi di bulan Ramadhan (hanya di siang hari) kita diwajibkan menahan diri dari perkara tersebut dan perkara-perkara lain yang boleh membatalkan puasa semata mata kerana (taqwa kepada) Allah. Walau bagaimanapun Allah Maha Penyayang di dalam ibadah yang 'berat' ini terdapat juga rukhsoh bagi yang lemah dan dalam kesulitan.

Dan disepanjang bulan Ramadhan kita dianjurkan supaya membuat sebanyak-banyak kebaikan dan amal soleh kerana ganjaran yang amat besar berbanding pada masa lain. Inilah motivati yang diberikan Allah kepada kita untuk kita kuat beramal dan diteruskan sesudah Ramadhan nanti. Kesemuanya ini tidak mampu dilaksanakan melainkan di atas petunjuk (huda) dari Allah. Antara amal soleh yang tidak wajar dilalaikan ialah berdoa. Di dalam Surah alBaqoroh ayat 183 hingga 187 diterangkan perintah Tuhan tentang berpuasa dan ayat 186 adalah perintah untuk berdoa.

Ayat ke-enam surah alFatihah ini adalah doa paling penting untuk kita menjalani kehidupan di dunia ini. memohon kepada Allah supaya kita ditunjuki dengan jalan yang lulus, yakni ISLAM itu sendiri yang berdalilkan alQuran dan asSunnah.

Ini sebut Nabi SAW:

Mafhumnya: "Telah aku tinggalkan pada kamu dua perkara yang tidak akan menyesatkan kamu selama-lamanya pabila kamu berpegang pada keduanya, KitabulLah dan Sunnah RasulNya "

Semoga Allah memberi kita petunjuk agar kita terus beristiqomah dalam Islam sehingga akhir hayat kita.

Selamat Berpuasa.

WalLahu a'lam

HBN

2010-08-07

Alfatihah 5

Assalamualaikum ww sahabat2

Mafhumnya: "Engkaulah sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan."

Pagi tadi telah diadakan program gotong royong surau untuk menyambutkan ramadhan. Kerja gotong royong untuk membersih surau, mengganti kipas yang dicuri, memasang lampu, mengubah pemidang (hijab untuk jamaah muslimat), membaiki paip wudhu, tandas dan membentang tikatr di dewan makan. Walaupun agak memenatkan tetapi seronok dapat bersama sahabat-sahabat dan jiran-jiran. Dato' Penasihat bawa nasi lemak sebagai hidangan mengalas perut. Tak sangka-sangka durian dan pulut pun ada....

Inilah janji Allah, walaupun kita mengharapkan janji akhirat saja tetapi balasan di dunia telah pun nampak.

Ayat kelima surah alFatihah ini amat mendalam maknanya bagi yang mengakui keAgungan dan keHebatan Allah. Sesudah 4 ayat diterangkan akan sifat Allah, kini tiba giliran kita untuk menyatakan ketundukan, ketaatan dan pengharapan hanya pada Allah. Bagi umat Islam, semua amalan yang soleh merupakan ibadah dan amal yang soleh itu diniatkan semata-mata untuk Allah. Jika kita bergotong royong pun semata-mata untuk Allah bukan kerana AJK atau jiran atau apa saja.

Surau An-Nur bukanlah surau yang 'mewah', keperluannya hanyalah atas sumbangan jamaah dan hanya cukup untuk kemudahan asas. Kita berharap menjelang ramadhan ini lebih ramai akan menyumbang supaya aktiviti kita dapat berjalan dengan sempurna seperti solat tarawikh diimamkan oleh qori yang hafiz dan majlis tadabbur alQuran dapat diteruskan seperti tahun-tahun yang lepas. Kita berdoa kepada Allah supaya dermawan bermurah hati menyumbang kerana Allahlah tumpuan harapan kita. Makhluk hanyalah 'wasilah' bagi rezeki Allah tiba, walaupun Allah boleh memberi secara terus tetapi Allah juga berjanji urusanNya adalah menurut 'Sunnah Allah' untuk kemudahan kita juga.

Banyakkanlah berdoa dan serulah Allah terutama dalam bulan Ramadhan yang berkat ini. Allah Maha Mendengar dan amat suka kepada seruan hambaNya. Rintihan hambaNya tidak akan dilupai dan disesiaTuhan.

Selamat datang Ramadhan telah setahun kami merinduimu....

WalLahu a'lam
HBN

2010-08-05

Alfatihah:4

Assalamualaikum ww sahabat2 yang dikasihi,


Mafhumnya: "Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)".
Umat Islam beriman dan meyakini selepas kematian akan ada satu lagi kehidupan yakni hari pembalasan dimana segala amal perbuatan di dunia dibalas pada hari ini. Pada ketika itu, manusia akan dihisab di mahkamah Allah yang memerintah dan berkuasa pada hari itu.

Allah bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang tidak memerlukan makhluk, ini diyakini dengan sifatNya "qiamu binafsihi". Oleh itu penghakiman pada ketika itu Maha Adil, Maha Seni dan Maha Telus. Jika di dunia hakim-hakim terdedah dengan unsur rasuah dan kepentingan peribadi, tetapi pada hari mahsyar, HakimNya ialah Allah SWT sendiri, malah hakim-hakim didunia akan juga dihakimi kerana penghakiman mereka.

Hari pembalasan adalah hari yang digeruni kerana segalanya akan terbongkar, tuntutan akan adili walaupun sebesar zarrah atau lebih kecil lagi. Nikmat dan ujian yang Allah berikan akan dinilai pada hari itu. Hari pembalasan bermula dengan kehancuran alam ini dan diganti dengan alam yang lain yakni alam akhirat. Tiada kematian lagi sesudah itu dan kesudahanannya samada di Syurga (Jannah) atau Neraka (Nar).

Beruntunglah bagi siapa yang baik kesudahannya, walaupun di dunia penuh dengan kesulitan. Berbaik-sangkalah dengan Allah untuk Ramat dan RahimNya.

WalLahu a'lam

Sifat Pemimpin

Salam,
Khalifah Abu bakar Assiddiq ra pernah berpidato saat dilantik menjadi pemimpin ummat sepeninggalan Rasulullah SAW yang mana inti dari isi pidato tersebut dapat dijadikan pegangan untuk menjadi seorang pemimpin yang baik dan boleh diterjemahkan sebagai berikut:

“Saudara-saudara, Aku telah diangkat menjadi pemimpin bukanlah karena aku yang terbaik di antara kalian semuanya, untuk itu jika aku berbuat baik bantulah aku, dan jika aku berbuat salah luruskanlah aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan kebohongan itu adalah pengkhianatan. ‘Orang lemah’ di antara kalian sebenarnya mempunyai kekuatannya di sisiku dan aku akan melindungi hak-haknya. ‘Orang kuat’ di antara kalian aku pandang lemah di sisiku dan aku akan mengambil hak-hak mereka yang mereka peroleh dengan jalan yang jahat untuk aku kembalikan kepada yang berhak menerimanya. Janganlah diantara kalian meninggalkan jihad, sebab kaum yang meninggalkan jihad akan ditimpakan kehinaan oleh Allah Swt. Patuhlah sahabat semua kepadaku selama aku mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Jika aku durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka tidak ada kewajiban bagi kalian untuk mematuhiku. Kini marilah kita menunaikan sholat semoga Allah Swt melimpahkan Rahmat-Nya kepada kita semua”.
Ada 7 poin yang dapat diambil dari inti pidato khalifah Abu Bakar ra ini, diantaranya:
1. Sifat rendah hati. Pada hakikatnya kedudukan pemimpin itu tidak berbeda dengan kedudukan yang dipimpin. Ia bukan orang yang harus terus di istimewakan. Ia hanya sekedar orang yang harus didahulukan selangkah dari yang lainnya karena ia mendapatkan kepercayaan dalam memimpin dan mengemban amanat.
2. Sifat terbuka untuk dikritik. Seorang pemimpin haruslah peka dengan aspirasi-aspirasi umat atau pengikutnya dan terbuka untuk menerima pandangan positif dan konstruktif.
3. Sifat jujur dan memegang amanah.
4. Sifat berlaku adil. Seorang pemimpin harus mampu menimbang dan memperlakukan sesuatu dengan seadil-adilnya bukan berpihak pada seorang saja atau berat sebelah dan tidak semestinya sama rata..
5. Komitmen dalam perjuangan. Sifat pantang menyerah, istoqomah dan konsisten pada konstitusi bersama bagi seorang pemimpin adalah penting.
6. Bersikap Musyawarah. Kesepakatan bersama akan memberikan kepuasan, sehingga apapun yang akan terjadi baik buruknya bisa ditanggung bersama-sama.
7. Berbakti dan mengabdi kepada Allah. Dalam hidup ini segala sesuatunya takkan terlepas dari pandangan Allah, manusia bisa berusaha semampunya dan sehebat-hebatnya namun yang menentukannya adalah Allah.
8. Berlapang Dada
Sekalipun jika satu pendapat itu mempunyai dalil yang kuat, tidak mustahil juga pendapat yang satu lagi turut mempunyai dalil yang tak kurang hebat. Jadi, di mana titik pertemuannya agar pendapat-pendapat ini menjadi sesuatu yang sinergistik, bukan antagonistik? Kekuatan itulah terletak pada berlapang dada. Apabila setiap orang yang berbeza pendapat sentiasa appreciate antara satu sama lain, maka pendapat-pendapat yang diberikan akan saling memperkuatkan dan menambah kepelbagaian dalam sudut pandang dan amalan. Walaubagaimanapun, masih lagi terikat pada dasar dan asas yang tidak bercanggah dengan prinsip asas akidah.

Dato' Penasihat

2010-08-01

Alfatihah:3

Assalamualaikum ww sahabat2 yang dimuliakan,


Mafhumnya: "Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani."
Sekali lagi Allah menerangkan sifat ZatNya yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Walaupun Allah adalah Rabb sekelian alam tetapi Dia Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Berbeza dengan manusia, jikalah mempunyai jawatan sedikit sudah mula hilang sifat pemurah dan penyayangnya untuk menunjukkkan kehebatannya yang sudah ada 'kuasa' itu. Maha Pemurah dan Penyayang Allah bukanlah bersebab tetapi mutlak. Kasih sayang Allah tanpa memerlukan sebab, ini dapat dilihat bilamana sikafir masih mendapat rezeki dan kurniaan Allah yang berlimpah ruah di dunia ini.

Allah tahu manusia/kita ini lemah kerana Dialah yang menciptakan kita. Dia bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang dengan segala bantuan dan kemudahan untuk kita melaksanakan suruhan dan perintahNya (yakni beribadah). Untuk itu Allah menjanjikan rezeki, Janji Allah akan menggandakan satu kebaikan yang dibuat dari 10 kali ganda hingga tidak diketahui nilainya (hanya Allah yang mengetahui) manakala kejahatan hanya akan dikira sebagai 1 kejahatan saja.

Allah Maha Menyayangi kita dari ibubapa kita malah Allah lebih menyayangi kita dari diri kita sendiri. Tiada musibah yang diberikan Allah kepada seseorang, melainkan ada 'kebaikan' disebaliknya. Jika kita benar2 mengetahui Kasih dan Sayang Allah maka rindu dan kasih kita hanyalah kepadaNya, Zat yang Maha Sempurna .....

WalLahu a'lam
HBN