Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2013-07-15

Ramadhan 1434H, Julai/Ogos 2013

Assalamualaikum dan Salam RAMADHAN semua.

Setelah hampir setengah tahun laman blog Surau An Nur SP1 tidak di aktifkan dengan berita dan peringatan sebagaiman yang biasa di laku kan oleh Tn Hj Harun, mantan Pengerusi, kini tiba masanya untuk ia dikembalikan ke zaman kegemilangan.

Sesungguhnya tn Hj Mantan pengerusi telah meletakkan isi kandungan atikel atau informasi di blog Surau An Nur Sp1 sesuatu yang sangat tinggi nilainya dan bermanfaat kepada semua pembaca. Dengan kekurangan yang ada dari segi ilmu agama dan IT, maka ianya merupakan satu tanda aras yang sangat tinggi untuk saya, sebagai pengerusi baru untuk mengikuti jejak beliau.

Walaubagaimana pun, di kalangan warga SP1 terdapat pelbagai kepakaran yang boleh saya pelajari dan meminta pertolongan jika ianya diperlukan.

InsyaAllah warga SP1 semua akan bertambah utuh.

Kini Ramadhan 1434 telah pun enam hari di lalui..sebagai peringatan untuk saya dan sahabat sahabat semua
marilah kita sama sama merenungkan mafhum hadis di bawah ini...


Kelebihan Kelebihan Bulan Ramadhan

Hadis Nabi S.A.W
Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat didalamnya satu malam (Lailatul-Qadr) yang lebih baik dari seribu bulan. Satu bulan yang Allah SWT telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardu dan berdiri pada malamnya (bertarawih) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah padanya dengan mana mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan bulan yang lain
Ia adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan simpati. Ia bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun ganjarannya.
Sahabat sahabat r.a lalu berkata “ Tiadaklah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.” Maka Rasulullah saw bersabda, Allah SWT memberi pahala itu kepada sesiapa yang member walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.”

Ia adalah yang satu bulan yang bahagian awalnya rahmat,( 10 malam pertama),pertengahannya (10 berikutnya) keampunan, dan akhirnya kelepasan dari api neraka .  Sesiapa yang meringankan beban hamba hambanya (pekerja pekerjanya) pada bulan itu, maka ia akan diampunkan oleh Allah dan akan dilepaskan dari azab api neraka.

petikan dari buku Fadhilat Ramadhan, Oleh Maulana Muhamad Zakariyya

2013-01-07

Perletakan Jawatan Pengerusi

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dikasihi, setelah lebih 5 tahun menjadi Pengerusi Surau Annur SP1 kini tibalah pula masanya jawatan tersebut diambil alih oleh orang lain yang insya Allah dapat memimpin umat Islam di Kariah Surau Annur. Saya kini berpindah ke Ulu Kelang.

Saudara Osmawi Yahya, yang telah hampir 3 tahun menjadi Timbalan Pengerusi adalah seorang yang penyantun dan istiqomah dengan amal Islami. Beliau akan memangku jawatan sehingga pemilihan AJK yang baru yang akan dipanggil oleh Tuan Nazir.

Semoga Allah berkati semua sahabat2 dan ahli kariah.

Wallahu a'lam.
Harun Noordin (Mantan Pengerusi)
Jalan Bunga Cempaka, Kg Kemansah
Ulu Kelang.

2012-12-27

Selamat Tahun Baru 2013 dan Mesyuarat Surau An-Nur

Assalamualaikum ww, ya ikhwah....

Mesyuarat Tahunan Surau An-Nur SP1
Tarikh: 1 Jan 2013
Masa : Selepas Solat Isyak
Agenda:
1. Taqwim 2013
2. Laporan Setiausaha
3. Laporan Kewangan
4. Hal-hal lain

Semua ahli kariah Surau An-Nur SP1 adalah dijemput hadir.

Sekian dan terima kasih
Pengerusi

2012-11-12

Selamat Tahun Baru Hijrah 1434

Assalamualaikum ww

Sahabat2 yang dikasihi, kini menjelang tiba tahun 1434H bermakna sudah bertambah usia kita setahun (bermakna makin hampir usia kita ke penghujungnya). Allah SWT menciptakan kita sebagai hambaNya dan untuk mengabdikan diri kepadaNya semata.
Mafhumnya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (56: Adz-Dzaariyat)

Salah satu tugas sebagai hamba Allah adalah untuk mentadbir bumi ini. Allah menyediakan matahari dan bulan untuk manusia mengira waktu bagi memudahkan kita mengurus-tadbir kehidupan agar lebih teratur.

Mafhumnya: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Demikianlah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya dirimu dalam bulan-bulan itu; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertakwa. " (36: Attaubah)

Taqwim Hijri
Sesungguhnya sepeninggalan Nabi SAW, umat Islam dipimpin oleh Khalifah arRashidin yakni Abu Bakr, Umar, Usman dan Ali R-anhum yang mempunyai kelebihan sebagai ulama, usahawan, jeneral dan pentadbir yang cekap. Ini dapat dibuktikan oleh Umar semasa mengadakan taqwim (kalender) Islam menggunakan gabungan sistem matahari (syamsiah) dan bulan (qamariah) seperti yang dituntun oleh alQuran. Begitu mudah pengiraan dan tepat. Lebih tepat dari sistem kalender rumawi yang meluas digunakan sekarang.

Amirulmukminin, Umar Ibn alKhattab telah memilih tahun berlakunya Hijrah Nabi SAW sebagai permulaan bagi Taqwim Islam ini. Pastinya tiada seorangpun yang boleh menafikan bahawa hijrah adalah sejarah penting dalam perkembangan Islam.

1434 Hijrah Sudah 1434 tahun Nabi SAW berhijrah dari negeri kelahirannya Makkah, ke Yathrib (kemudian dinamakan Madinah) sebuah kampung yang mempunyai kebun kurma dan mempunyai penduduk dari pelbagai bangsa Arab, Yahudi, Parsi, Rom, Habshah dan sebagainya.
Hijrah adalah fenomena islah dari yang batil kepada yang haq. Keadilan untuk manusia, perjuangan untuk membentuk negara yang melaksanakan hukum dan perintah Tuhan Rabb alJalil.

Semoga tahun ini akan lebih baik dari tahun 1433 dan Allah memberkati kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

Wassalam
Pengerusi