Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2011-11-27

Cuti Sekolah & Kenduri

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dikasihi, sudah 2 minggu anak-anak kita memulakan cuti persekolahan akhir tahun mereka dan di setiap hujung minggu jadual kita dipenuhi dengan undangan kenduri perkahwinan, kesyukuran, aqiqah dan sebagainya.

Samada kita merancang 'percutian' anak-anak atau tidak, perlu kita jengok-jengok juga jadual harian mereka, samada hanya tertumpu kepada TV atau komputer/internet saja. Pengisian yang bermanafaat itu bagi membentuk akhlak anak-anak amat penting. Mungkin kita boleh merujuk kitab Tarbiatul Awlad (pendidikan anak-anak) oleh Sheikh Abdullah Nasih Ulwan atau Syllabus Tarbiah/Usrah Ikhwan Muslimin di mana anak-anak diminta menghafaz alQuran (peringkat awal) dengan Juzuk Amma, Matan Arbain (Hadis 40) susunan Imam Nawawi disamping buku-buku sirah.

Disamping itu ada baiknya jika kita membawa anak-anak ke majlis-majlis kenduri, terutama melibatkan kaum kerabat supaya mereka dapat berkenal-kenalan. Walaupun begitu, suasana kenduri-kendara sekarang juga mempunyai masalahnya seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, suasana maksiat atau subahat seperti pendedahan aurat dan hiburan yang berlebihan, membazir, menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Kita kena terangkan kepada anak-anak perkara ini, jika tidak mereka akan menerima ini sebagai budaya yang 'perlu dilakukan', akhirnya mereka hilang pedoman mana yang baik dan buruk di sisi Islam.

Semasa cuti sekolah ini juga biasa diadakan upacara ber'khatan' bagi anak-anak lelaki. Sudah menjadi budaya kita orang Melayu mng'khatan' anaknya setelah besar (biasanya sebelum masuk ke sekolah menengah). Tetapi elok untuk kita menyegerakannya seumpama baru lahir agar ianya menjadi lebih mudah dan menepati sunnah.

Akhir kata, elakkan pembaziran semasa musim cuti sekolah dan semasa cuti sekolah inilah kita berpeluang membentuk jatidiri anak-anak mengikut acuan Islam sepenuhnya.

Wassalam
Pengerusi

2011-11-26

Tahun Baru 1433 Hijrah

Assalamualaikum ww

Sudah lama blog ini  tak dikemaskini, disebabkan beberapa komitmen dan urusan yang begitu menekan. Selepas puasa yang lalu pun tidak ada aktiviti yang "ummmp" di Surau Annur SP1. Mungkin kerana kesibukan Pengerusi dan semua AJK terutama beberapa sahabat pergi menunaikan Fardhu Haji.

Hari ini adalah hari terakhir tahun 1432H dan mulai terbenam matahari petang nanti, kita akan memasuki tahun baru 1433H. Semasa kehidupan Nabi SAW tak ada keperluan untuk menentukan bilangan tahun ini - walaupun sukatan tahun telah diajarkan oleh Allah SWT, kerana tujuan utama dan matlamat Nabi SAW untuk membetulkan sifat dan sikap kemanusiaan yang begitu rosak. Semasa zaman Khalifah Umar RA, pentadbiran negara memerlukan penentuan tahun ini, agar segala urusan dapat ditentukan julat masanya seperti kutipan zakat dan sebagainya.

Kini kita lebih kompleks lagi, ukuran tahun terlalu pendek untuk urusan dan perancangan, kerana sesuatu projek dan pembangunan itu tidak dapat disiapkan dalam masa satu tahun walaupun semuanya kini dapat dilakukan dengan cepat. Kalau Nabi SAW, dalam masa 23 tahun boleh membina sebuah negara Islam yang murni ( yakni dari zero), peluasan kekuasaan dari hanya Makkah dan Madinah menjadi seluruh jazirah Arab, yang dengan itu mampu membentuk tamaddun dan sistem politik yang kekal sehingga hari ini.

Seperti dijanjikan Allah, Islam akan kekal sehingga hari kiamat - selepas serangan fizikal (penjajahan)oleh musuh-musuh Islam kerana kelemahan umat Islam sendiri, kini Islam diserang dengan serangan pemikiran, serangan itu lebih mudah dengan teknologi maklumat yang lebih pantas sekarang ini... tetapi apakah kita akan membiarkannya tanpa serangan balas? Islam adalah agama hujjah dan dalil, Islam tidak membunuh intelektual malah mengembangkannya, Islam tidak memusuhi ilmu dan teknologi tetapi menggunakannya. Peperangan pemikiran ini perlu ditangani dengan bijaksana sama seperti peperangan fizikal sehingga umat ini mampu menjulang panji-panji Islam tanda kemenangan, ketika itu Islam dihormati seperti di tahun-tahun terakhir kehidupan Nabi SAW.

Sesungguhnya Penghijrahan Nabi SAW adalah salah satu tektik peperangan... Selamat Menyambut Tahun 1433H.

Wassalam
Pengerusi