Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2011-12-06

10 Muharram - Hari Asyura

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dimuliakan, hari ini 10hb Muharram juga dikenali sebagai Hari Asyura disambut oleh umat Islam dalam berbagai keadaan:
1. Ada yang berpuasa hari ini
2. Ada yang sudah berpuasa semalam
3. Ada yang telah berpuasa sejak 1 Muharram lagi
4. Ada yang tidak berpuasa
5. Ada yang tidak berpuasa kerana kesedihan disebabkan kematian seseorang - seperti Penganut Syiah meratapi hari ini kerana kematian Saiyidina Hussain di Karbala.

Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang Yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka beliau bertanya yang bermaksud : Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik yang mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda Nabi S.A.W : Maka aku lebih layak dengan Musa daripada kamu maka beliau berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini. (Bukhari, Muslim dan Abu Daud)


Daripada Abdullah bin Ma’bad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Berpuasa pada hari ‘Asyura (kesepuluh Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya. (Tarmizi)

Daripada Ibnu Shihab daripada Hamid bin Abdul Rahman bahawa dia telah mendengar Mu’awiyah bin Abu Sufian berucap pada hari Asyura tahun haji di atas mimbar : Wahai penduduk Madinah! Dimanakah ulama’ kamu? Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Ini adalah hari ‘Asyura dan Allah tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Aku berpuasa (pada hari ini) maka sesiapa yang mahu berpuasa berpuasalah dan sesiapa yang mahu (berbuka) maka berbukalah. (Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Semoga Allah menganjari kita dengan kebaikan yang banyak.

WalLahu a'lam

Pengerusi

2011-11-27

Cuti Sekolah & Kenduri

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dikasihi, sudah 2 minggu anak-anak kita memulakan cuti persekolahan akhir tahun mereka dan di setiap hujung minggu jadual kita dipenuhi dengan undangan kenduri perkahwinan, kesyukuran, aqiqah dan sebagainya.

Samada kita merancang 'percutian' anak-anak atau tidak, perlu kita jengok-jengok juga jadual harian mereka, samada hanya tertumpu kepada TV atau komputer/internet saja. Pengisian yang bermanafaat itu bagi membentuk akhlak anak-anak amat penting. Mungkin kita boleh merujuk kitab Tarbiatul Awlad (pendidikan anak-anak) oleh Sheikh Abdullah Nasih Ulwan atau Syllabus Tarbiah/Usrah Ikhwan Muslimin di mana anak-anak diminta menghafaz alQuran (peringkat awal) dengan Juzuk Amma, Matan Arbain (Hadis 40) susunan Imam Nawawi disamping buku-buku sirah.

Disamping itu ada baiknya jika kita membawa anak-anak ke majlis-majlis kenduri, terutama melibatkan kaum kerabat supaya mereka dapat berkenal-kenalan. Walaupun begitu, suasana kenduri-kendara sekarang juga mempunyai masalahnya seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, suasana maksiat atau subahat seperti pendedahan aurat dan hiburan yang berlebihan, membazir, menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Kita kena terangkan kepada anak-anak perkara ini, jika tidak mereka akan menerima ini sebagai budaya yang 'perlu dilakukan', akhirnya mereka hilang pedoman mana yang baik dan buruk di sisi Islam.

Semasa cuti sekolah ini juga biasa diadakan upacara ber'khatan' bagi anak-anak lelaki. Sudah menjadi budaya kita orang Melayu mng'khatan' anaknya setelah besar (biasanya sebelum masuk ke sekolah menengah). Tetapi elok untuk kita menyegerakannya seumpama baru lahir agar ianya menjadi lebih mudah dan menepati sunnah.

Akhir kata, elakkan pembaziran semasa musim cuti sekolah dan semasa cuti sekolah inilah kita berpeluang membentuk jatidiri anak-anak mengikut acuan Islam sepenuhnya.

Wassalam
Pengerusi

2011-11-26

Tahun Baru 1433 Hijrah

Assalamualaikum ww

Sudah lama blog ini  tak dikemaskini, disebabkan beberapa komitmen dan urusan yang begitu menekan. Selepas puasa yang lalu pun tidak ada aktiviti yang "ummmp" di Surau Annur SP1. Mungkin kerana kesibukan Pengerusi dan semua AJK terutama beberapa sahabat pergi menunaikan Fardhu Haji.

Hari ini adalah hari terakhir tahun 1432H dan mulai terbenam matahari petang nanti, kita akan memasuki tahun baru 1433H. Semasa kehidupan Nabi SAW tak ada keperluan untuk menentukan bilangan tahun ini - walaupun sukatan tahun telah diajarkan oleh Allah SWT, kerana tujuan utama dan matlamat Nabi SAW untuk membetulkan sifat dan sikap kemanusiaan yang begitu rosak. Semasa zaman Khalifah Umar RA, pentadbiran negara memerlukan penentuan tahun ini, agar segala urusan dapat ditentukan julat masanya seperti kutipan zakat dan sebagainya.

Kini kita lebih kompleks lagi, ukuran tahun terlalu pendek untuk urusan dan perancangan, kerana sesuatu projek dan pembangunan itu tidak dapat disiapkan dalam masa satu tahun walaupun semuanya kini dapat dilakukan dengan cepat. Kalau Nabi SAW, dalam masa 23 tahun boleh membina sebuah negara Islam yang murni ( yakni dari zero), peluasan kekuasaan dari hanya Makkah dan Madinah menjadi seluruh jazirah Arab, yang dengan itu mampu membentuk tamaddun dan sistem politik yang kekal sehingga hari ini.

Seperti dijanjikan Allah, Islam akan kekal sehingga hari kiamat - selepas serangan fizikal (penjajahan)oleh musuh-musuh Islam kerana kelemahan umat Islam sendiri, kini Islam diserang dengan serangan pemikiran, serangan itu lebih mudah dengan teknologi maklumat yang lebih pantas sekarang ini... tetapi apakah kita akan membiarkannya tanpa serangan balas? Islam adalah agama hujjah dan dalil, Islam tidak membunuh intelektual malah mengembangkannya, Islam tidak memusuhi ilmu dan teknologi tetapi menggunakannya. Peperangan pemikiran ini perlu ditangani dengan bijaksana sama seperti peperangan fizikal sehingga umat ini mampu menjulang panji-panji Islam tanda kemenangan, ketika itu Islam dihormati seperti di tahun-tahun terakhir kehidupan Nabi SAW.

Sesungguhnya Penghijrahan Nabi SAW adalah salah satu tektik peperangan... Selamat Menyambut Tahun 1433H.

Wassalam
Pengerusi

2011-08-09

Tazkirah Dari Imam Surau Annur SP1 - Rezeki

Assalamualaikum ww sahabat2 yang dikasihi,

Adapun rezeki itu ada dua macam: yang pertama sebagai ibtilaa (cobaan) dan yang kedua sebagai ishthifa (pilihan).

 
Rezeki yang sebagai cobaan adalah rezeki yang tidak ada hubungan apapun dengan Allah. Bahkan rezeki yang satu ini membuat manusia semakin jauh dari Allah, sampai akhirnya dia binasa. Ke arah inilah Allah ta'ala telah mengisyaratkan seperti dalam Surah Almunafiqun:


Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.
Rezeki yang sebagai ishthifa adalah rezeki yang diperuntukkan bagi Allah. Allah akan jadi pelindung bagi orang-orang seperti itu. Dan segala sesuatu yang ada pada mereka, mereka anggap sebagai milik Allah semata. Dan hal itu mereka buktikan dari amal perbuatan mereka.

Lihatlah keadaan para sahabat Rasulullah saw ketika masa cubaan tiba, maka segala sesuatu yang ada pada seseorang di antara mereka, semuanya diserahkan di jalan Allah ta'ala. Abu Bakar ra adalah yang paling pertama datang , dengan menyerahkan semua milik beliau. Dan Allah ta'ala telah membalas ganjaran bagi kain tersebut, yakni beliaulah yang pertama telah menjadi khalifah.

Ringkasnya untuk dipenuhi oleh keindahan sejati, kebaikan dan kelazatan rohani, harta yang dapat berguna adalah harta yang dibelanjakan di jalan Allah

Wallahu a'lam
Ustaz Samsudeen
Imam Surau Annur SP1

10 Kedua Ramadhan

Assalamualaikum ww sahabat2 yang dikasihi,

Alhamdulillah terlalu cepat masa berlalu dan kini kita telah berada di hari 10 kedua Ramadhan. Maknanya sudah 10 hari berlalu dan semoga kerahmatan Allah kepada kita menjadi kasih sayangNya untuk memberi kita keampunan pada 10 kedua ini.

Firman Allah dalam Surah Albaqoroh:
Mafhumnya: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah). Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka) maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur."

Menjadi amalan di mana-mana umat Islam menghidupkan Ramadhan dengan alQuran, samada membacanya dalam qiamullail atau bertadarrus. Ini adalah amalan yang mulia dan hebat yang perlu diteruskan sehingga selepas Ramadhan nanti..

Di bulan yang barokah ini, amat penting untuk kita memahami hikmah berpuasa disamping mengetahui perkara-perkara yang membatalkan puasa dan pahala puasa itu. Mungkin ramai di kalangan kita yang tidak mengambilkira perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa itu, sehingga menjadilah ia hanya mendapat lapar dan dahaga saja.

Wallahu a'lam
Pengerusi


2011-07-14

Palestine dan Tanggungjawab Kita

Assalamualaikum ww

Sahabat-sahabat yang dikasihi, kekejaman regim Zionis memang kita ketahui dan ianya dapat dilihat di bumi Palestine. Ini adalah persoalan kemanusiaan dan penyelesaiaannya bukanlah mudah kerana regim Zionis Israel ini disokong kuat oleh Amerika dan sekutu barat serta PBB. Pemimpin umat Islam juga tidak mampu berbuat apa-apa. Inilah kelicikan bangsa Yahudi dalam mengawal bangsa-bangsa lain di dunia. Jika di zaman Nabi SAW, Yahudilah yang menjadi penyelaras perang untuk tentera bersekutu dalam perang Khandak, begitulah juga isu Palestin, mereka adalah penyelaras kekejaman bangsa manusia terhadap bumi Palestin dan penduduknya terutama saudara kita yang beragama Islam.

Oleh itu, Surau Annur SP1 akan mengadakan ceramah dan penerangan tentang "Palestin dan Tanggungjawab Kita", ini akan diadakan seperti berikut:

Tarikh:   17 Julai 2011 (Ahad)
Masa :   10:00 pagi
Tempat: Dewan Solat, Surau Annur, Blok C1, Apartment Seri Damai, Saujana Puchong
Penceramah: YM Dr Tengku Shahrom (Aqsa Syarif)

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.

Wassalam
Pengerusi

2011-06-16

Peringatan dari Imam Surau An-Nur SP1 - Zuhud

Assalamualaikum ww,

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

جَاءَ الرَّجُلُ اِلَى النَّبٍي صلى اللهُ عَليه و سلم فقال : يَا رَسُولُ اللهِ, أَخْبَرَنِي بِعَمَلٍ إِذَا عَمِلَهُ أَحَبَّنِيَ اللهَ وَ أَحَبَّنِيَ النَّاسْ قَالَ : إُزْهُدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبُّكَ اللهَ وَ إُزْهُدْ فِيْمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَكَ الناَّس.

Mafhum Hadeeth :Abu Abbas, Sahl bin Saad As Siddiq RA berkata:
seorang laki2 datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: ahai Rasulullah SAW tunjukkan kepadaku satu perbuatan yang jika aku mengerjakannya, Aku dicintai Allah dan manusia. Jawab Nabi, "Zuhudlah engkau pada dunia nescaya engkau dicintai Allah dan zuhudlah engkau pada apa yang disisi manusia, nescaya manusia mencintai mu"

( Riwayat Ibnu Majah,Hadis Hassan)

Zuhud bukan bermakna meninggalkan dunia secara keseluruhannya, tetapi zuhud adalah mengawal nafsu dan diri dari bergantung kepad dunia. Zuhud tidak semestinya miskin tetapi orang kaya pun mampu berzuhud dengan mengawal nafsu daripada hanyut dibuai oleh kemewahan dunia.

Ingatlah bahawa kita semua ibarat musafir dari sebuah kapal dan sekarang ini sedang bersinggah di sebuah kepulauan yang bernama “DUNIA”. Dan tugas kita hanya mengumpulkan bekalan untuk perjalanan yang akan datang, maka bersediahan untuk perjalanan yang seterusnya dan jangan sampai terlepas pelayaranmu.

walLahu a'lam

Ustaz Samsudeen
Imam Surau An-Nur SP1

2011-05-09

Key Performance Indicator

Assalamualaikum ww,

Sahabat2 yang dirahmati Allah, masjid dan surau di Negeri Selangor diminta menilai KPI masing-masing untuk memastikan matlamat tercapai. Menilai pencapaian sesebuah masjid dengan surau dengan sasaran tertentu amatlah baik dan 'penilaian' setiap tahun bagai memastikan matlamat tercapai adalah satu tatacara bagi memastikan organisasi berada dilandasan yang betul.

Walau bagaimanapun, surau dbukanlah institusi perniagaan tetapi institusi dakwah. Kalau kita perhatikan para anbia tidak ditetapkan bilangan pengikut mereka tetapi yang ditetapkan adalah mereka mesti menyampaikan agama Allah. Ada yang mempunyai pengikut yang ramai seperti Nabi kita SAW, malah ada yang sedikit seperti Nabi Isa AS. Dakwah adalah kebenaran dan tanggungjawab juru dakwah adalah untuk memberi peringatan,

"{21} Oleh itu, berikanlah peringatan kerana sesungguhnya engkau (hanyalah seorang Rasul) pemberi ingatan. {22} Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam)." Surah al-Ghaasyiyah.

Orang yang akan memakmurkan rumah Allah itu adalah orang-orang yang beriman dan beramal sholeh serta mendirikan sholat. Usaha dakwah supaya surau dan mesjid dipenuhi adalah satu usaha yang murni dan menjadi tuntutan Islam.

Insya Allah, surau An-Nur SP1 akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (dijangkakan tiada pemilihan) bulan Jun 2011 - Tuan SU akan mengumumkan tarikhnya - untuk menilai aktiviti dakwah yang telah dilakukan sepanjang tahun lepas.

Wallahu a'lam

Harun Noordn

2011-03-31

Gotong Royong Surau An-Nur SP1 - 2 April 2011

Assalamualaikum ww

Sukacitanya dimaklumkan AJK surau telah bersetuju untuk mengumpul dana bagi membiayai projek 'menaik taraf' Surau An-Nur SP1 seperti keterangan di bawah :


  • Memasang bumbung pisang sesikat di tempat mengambil wudhu' bahagian luar dan pintu masuk kedua. Anggaran kos yang diperlukan berjumlah RM 500 untuk membeli bahan dan pemasangan dibuat secara gotong- royong pada 2 April 2011.
  • Membina laluan bertangga di pintu masuk kedua. Anggaran kos yang diperlukan berjumlah RM1500 iaitu untuk bahan dan upah.
Anggaran kos keseluruhan RM 2000.00 diharapkan ahli kariah dan dermawan surau dapat menyumbang bagi melancarkan projek tersebut. Sesiapa yang ingin menyumbang serahkan duit tersebut terus kepada Bendahari surau ( Tn. Ir.Nashrol Azam) selewat- lewatnya pada 2 April 2011.

Marilah kita bersama-sama menginfakkan wang ringgit dan tenaga untuk saham/amal jariah di akhirat nanti.
Sekian, terima kasih.

Hj. Mohd Nor Azizi Mohd Ali Hanapiah
N. Pengerusi
Surau An-Nur SP1

2011-02-18

Ceramah Sempena Maulid Nabi SAW

Assalamualaikum ww

Sahabat2 yang dikasihi, dijemput muslimin dan muslimat khasnya penduduk kariah Surau An-Nur SP1 hadir ke ceramah sempena Maulidur Rasul SAW seperti berikut insya Allah:

Tarikh: 19 Feb. 2011 bersama 17 Rabiul awwal 1432H
Masa: Dimulakan dengan solat Maghrib
Penceramah: Ust Mohd Nasir bin Mohd Tap

Akedemik: Sarjana Usul ad-Din dan Perbandingan Agama dari UIAM
Profesyen: Pensyarah di Kolej Dar al-Hikmah, Kajang Selangor

Selepas solat isyak akan diadalah jamuan oleh itu harap tuan puan membawa sedikit juadah untuk santapan bersama.

Kehadiran tuan puan, insya Allah akan mendapat berkah dari Allah SWT

Wassalam

Pengerusi