Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2009-03-29

Peristiwa Bersejarah

Assalamualaikum,
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, telah lama blog ini tidak dikemaskini, walaupun tidak seberat mana tetapi terasa perjuangan untuk istiqomah dalam Islam ini bukanlah satu kerja sambil lewa atau main-main walaupun hanya mengemaskini satu blog untuk dakwah.

Mengimbas kembali 13 Mac 1909, Khalifah terakhir Othmaniah, Sultan Abdul Hameed ke2 telah digulingkan oleh Mustafa Kamal dan kini genaplah 100 tahun umat Islam berpecah tanpa seorang khalifah yang menyatukannnya. Kegagalan umat ini bersatu menjadikannya mudah untuk diratah musuh. Umat Islam dihina, dikeji dan diperlakukan begitu kejam mengikut kehendak hati musuh-mush Islam terutama dari golongan Yahudi dan Nasoro.

Kita tidak boleh membiarkan ini berlaku, kesedaran kita diperlukan untuk terus menyuburkan ukhuwah. Hanya Allahlah harapan kita untuk membantu dan hidayah. Marilah kembali kepada jalan Allah dan memegang tali (agama) Allah sekuat-kuatnya, pastinya sesiapa saja yang berada pada pegangan itu akan merasakan nikmat ukhuwah tersebut.

WalLahu a'lam
Pengerusi

2009-03-10

Tertib dakwah bhg 3


Assalamualaikum,
Sahabat2 yang dikasihi, dalam tertib dakwah yang kedua, kita diminta supaya memastikan keluarga kita berada dalam lingkungan Islam sepenuhnya, kerana Allah memerintahkan kita supaya berusaha menyelamatkan diri kita dan keluarga kita dari api neraka. Ini tiada cara lain melainkan memasukkan diri dan keluarga kita dalam Islam secara keseluruhannya.

Pembentukan diri dan keluarga tidak akan mencapai kesempurnaan jika masyarakat masih lagi dalam suasana 'jahiliah'. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita memastikan jahiliah dalam masyarakat juga dibendung dan disuntik dengan ruh Islam. Sudah pasti tanggungjawab dakwah kepada masyarakat adalah tertib yang perlu dituruti selepas pembebasan diri dan keluarga dari fenomena jahiliah ini.

Sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW yang berusaha menyeru masyarakat (penduduk Makkah ketika itu) kepada Islam terutama selepas peringkat dakwah secara sembunyi (sir) kepada dakwah secara terbuka. Tentangan masyarakat amat ketara semasa dakwah secara terbuka ini. Keadaan ini juga tidak akan jauh bezanya pada masyarakat kita hari ini.

Bekalan yang mencukupi perlu disediakan untuk dakwah kepada masyarakat kerana tentangan dan kesukarannya jauh lebih besar dari berdakwah untuk keluarga. Konsep umum Islam haruslah diketengahkan dan penerangan yang jelas tentang kesyumulan Islam amat perlu seperti perkara berkaitan ibadat, muamalat, munakahat, jinayat dan sebagainya. Da'ie perlu mempunyai pengetahuan yang cukup dan mampu berkomunikasi dengan baik. Mad'u dari kalangan umat Islam yang telah jauh terpesong kadangkala lebih sukar diseru dari golongan bukan Islam.

Dimanakah kita dalam usaha ini?

WalLahu a'lam
Harun Noordin

2009-03-08

Maulid Nabi SAW


Assalamualaikum, sahabat2 yang dikasihi,

Menjadi kebiasaan di negara kita ini pada 12 Rabi'ul-awwal setiap tahun kita menyambut hari kelahiran Nabi SAW. Walaupun khilaf ulama tarikh menentukan tarikh sebenar kelahiran Nabi SAW tetapi yang pasti Nabi SAW telah lahir pada hari Isnin berdasarkan hadis Nabi SAW.

Dipercayai secara umum, Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutallib telah dilahirkan pada musim bunga Tahun Gajah pertama (50 hari selepas peristiwa tentera bergajah Abrahah ingin menyerang Kaabah). Bersamaan 22 April 570M sebelum terbit matahari, atau pada 12 Rabi'ul-awwal 40 tahun sebelum kerasulan. Sungguh pun begitu ada yang mengatakan tarikh kelahiran Nabi SAW ini pada, 8 atau 9 atau 10 Rabi'ul-awwal. Jumhur mengatakan 9 Rabi'ul-awwal kerana ianya pada hari Isnin.

Bukan tarikh kelahiran yang penting untuk seorang Nabi tetapi risalah yang dibawa oleh baginda. Ar-risalah ini telah disokong dan diamalkan oleh generasi sahabat, tabien, dan pengikut baginda seterusnya mampu mentadbir dunia ini lebih 1200 tahun hanya pada 29 Okt 1923 apabila Mustafa Kamal mengistiharkan Turki menjadi republik menandakan kejatuhan khalifah Othmaniah.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berazam untuk mengamalkan risalah Nabi SAW yang dibawanya baginda melalui Alquran dan Assunnah. Nabi ingatkan kita, jika kita berpegang dengan kedua-dua ini maka kita tak akan sesat selama-lamanya. Manakala Allah mengingatkan kita golongan penentang tidak akan redho kepada kita jika kita ingin mengamalkannya.

Oleh itu menjadi tanggungjawab kita:
1. mengetahui dan mengimani akan alquran dan assunnah ini
2. belajar untuk memahaminya
3. melaksanakannya dalam kehidupam
4. menyebarluaskan pengamalannya ke seluruh pelosok alam.

Inilah titik-tolak sambutan yang paling sesuai kita mulakan pada sambutan maulid Nabi Muhammad SAW ini.

WalLahu a'lam
Harun Noordin

2009-03-07

Taman untuk orang-orang yang soleh


Sejak tiga tahun yang lalu (hidup lagi almarhum Buya Pak Nik) kita mula kumpul lepas isya, baca hadis untuk jamaah yang hadir mendengar peringatan dari Nabi yang kita cintai, imam akan membaca satu atau dua hadis dari kitab Riadhussolihin susunan Imam Nawawi.

Walaupun tak perlu mensyarahkannya tetapi ianya dapat menjadi peringatan kerana ada perkara yang tidak dijelaskan dalam Alquran tetapi dijelaskan dalam hadis.....
2 kitab inilah manual kehidupan kita. Asas ilmu kita pun hendaklah dari 2 kitab ini.

Uslub dakwah kita di surau nampak statik yakni tak ada maudhu' baru untuk dakwah hanya 'common event' yang rasanya menjurus kepada natijah yang sama. Akhirnya beku dan hanya untuk orang tertentu saja. Kepelbagaian cara amat penting. Oleh itu, program ilmu walaupun sekejap mungkin amat bermakna...

Asas dakwah kita ialah " 'ala basyiroh" yang sudah semestinya dengan ilmu dan percambahan pemikiran, contohnya program ilmu dengan pelbagai jurusan seperti persoalan aqidah - ramai minat mengaji sifat 50 tetapi tak minat mengaji alquran jadi dia takkan datang kelas tajwid.

Orang yang sudah boleh baca Alquran biasanya datang kelas tajwid, jadi bagaimana nak tarik orang datang ke tempat ilmu kalau tak kita fikirkan daya penarik yang benar-benar "ummmmh!", lepas tu barulah kita 'jinak'kan dia mempelajari Islam secara keseluruhan. Tetapi manakah silibusnya dan mana penggeraknya, apa matlamat kita?

Maka usahakanlah majlis ilmu sebagai taman bagi orang-orang yang soleh. Di mana suara guru seperti aliran sungai yang berada di bawah kakinya. Kitab-kitab bagaikan kelopak bunga yang harum menenangkan jiwanya. Muzakarah dan hujjah bagaikan gunung yang cantik membiru jauh, peringatan-peringatan bagaikan hamparan rumput hijau yang halus dan lembut..... alangkah indahnya suasana ini.

Wallahu a'lam
Harun Noordin

2009-03-06

Tertib dakwah bhg 2


Assalamualaikum,
Sahabat2 yang dikasihi, jika sebelum ini kita membicarakan tertib yang pertama dalam dakwah untuk memperbaiki diri kita sendiri yakni untuk menjadi seorang yang berkeperibadian muslim seperti acuan dari Nabi SAW. Maka tertib yang kedua adalah untuk membina keluarga muslim.

Oleh kerana keupayaan seseorang itu berbeza, maka tidak perlu dinanti dianya menjadi 'benar-bernar muslim' baru hendak membina keluarga muslim kerana ada di sana perkara yang boleh berjalan serentak.

Pembentukan keluarga muslim dapat digariskan sebagai, "membawa ahli keluarganya menghormati fikirannya (yang bercita-cita Islam) dan menjaga adab-adab Islam dalam selok belok berumahtangga antaranya:
- pandai memilih isteri (keutamaan adalah agamanya)
- dapat membawa isteri menjalankan tanggungjawab dan memberi haknya
- pandai mendidik anak-anak dan pembantu rumah
- pendidikan berterusan memahami dasar-dasar islam
- beristiqomah dan berjihad dalam melakukan yang maaruf dan mencegah kemungkaran."

Semua ini wajib dan perlu dihayati serta dilaksanakan.

Wallahu a'lam
Harun Noordin

2009-03-05

Tertib dakwah bhg 1


Assalamualaikum, sahabat2 yang dikasihi.

Sambil membelek buku-buku lama, saya mengambil buku yang saya beli 20 tahun yang lalu, "Perspektif Pendidikan - Syarah Risalah Al-Ta'alim" tulisan Ustaz Sa'id Hawwa (terjemahan oleh Ust Md Akhir Hj Yaacob.

Dalam buku tersebut menggariskan objektif dakwah yang pertama:

- memperbaiki diri sehingga menjadi tubuh badan yang kuat,
- akhlak yang mantap,
- berfikiran yang luas,
- berdaya untuk berusaha,
- aqidahnya tidak cacat,
- ibadahnya betul,
- mujahid bagi dirinya,
- menjaga waktunya,
- urusannya tersusun dan
- dirinya memberi manafaat kepada orang lain.

Ini merupakan kewajipan setiap individu muslim.

Semoga kita menuju ke arah itu.....

WalLahu a'lam
Harun Noordin

Program Surau

Assalamualaikum

Sahabat2, yang dikasihi.
Malam tadi Dato' Penasihat menerima panggilan telefon dari JK Surau SP8 memaklumkan program sambutan maulid Nabi SAW, akan di adakan perarakan di Jalan Saujana Puchong. Insya Allah malam ini kita bincang tentang penglibatan kita dalam program ini.

Subuh Ahad lalu telah diadakan kuliah subuh dan sambutannya amat menggalakkan, Ustaz Zulkifli menerangkan batas-batas hukum yang perlu kita patuhi. Perlu diingat yang kita tiada kesempatan untuk menuntut ilmu fardhu ain secara formal, jadi inilah masanya kita menimba ilmu dengan sedikit peringatan di kuliah subuh dan bacaan hadis Nabi SAW selepas solat isya dapat mengisi sedikit kekurangan kita itu.

Isnin malam, sekali lagi Ustaz Zul mengisi slot kelas tajwidnya bagi membetulkan bacaan alquran kita. sebutan yang salah akan menyebabkan makna yang salah dan mengakibatkan bacaan alquran kita juga tidak membawa manafaat tetapi mudhorat.

Kita hanya membiarkan keghairahan menuntut ilmu hanya pada anak-anak sekolah manakala ibubapa terus leka mencari rezeki yang telah disediakankan Allah untuk mereka. Jika berlaku perlanggaran hukum oleh ibubapa (kita) sendiri maka anak-anak akan 'confuse' tentang tindakan kita, yakni apa yang kita lakukan tanpa ilmu dan ajaran yang mereka terima.

Semoga usaha pihak surau mengadakan program ilmu ini dapat terus ditingkatkan dan Allah memberi kita ganjaran terhadapnya.

WalLahu a'lam

Harun Noordin