Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2009-03-10

Tertib dakwah bhg 3


Assalamualaikum,
Sahabat2 yang dikasihi, dalam tertib dakwah yang kedua, kita diminta supaya memastikan keluarga kita berada dalam lingkungan Islam sepenuhnya, kerana Allah memerintahkan kita supaya berusaha menyelamatkan diri kita dan keluarga kita dari api neraka. Ini tiada cara lain melainkan memasukkan diri dan keluarga kita dalam Islam secara keseluruhannya.

Pembentukan diri dan keluarga tidak akan mencapai kesempurnaan jika masyarakat masih lagi dalam suasana 'jahiliah'. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita memastikan jahiliah dalam masyarakat juga dibendung dan disuntik dengan ruh Islam. Sudah pasti tanggungjawab dakwah kepada masyarakat adalah tertib yang perlu dituruti selepas pembebasan diri dan keluarga dari fenomena jahiliah ini.

Sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW yang berusaha menyeru masyarakat (penduduk Makkah ketika itu) kepada Islam terutama selepas peringkat dakwah secara sembunyi (sir) kepada dakwah secara terbuka. Tentangan masyarakat amat ketara semasa dakwah secara terbuka ini. Keadaan ini juga tidak akan jauh bezanya pada masyarakat kita hari ini.

Bekalan yang mencukupi perlu disediakan untuk dakwah kepada masyarakat kerana tentangan dan kesukarannya jauh lebih besar dari berdakwah untuk keluarga. Konsep umum Islam haruslah diketengahkan dan penerangan yang jelas tentang kesyumulan Islam amat perlu seperti perkara berkaitan ibadat, muamalat, munakahat, jinayat dan sebagainya. Da'ie perlu mempunyai pengetahuan yang cukup dan mampu berkomunikasi dengan baik. Mad'u dari kalangan umat Islam yang telah jauh terpesong kadangkala lebih sukar diseru dari golongan bukan Islam.

Dimanakah kita dalam usaha ini?

WalLahu a'lam
Harun Noordin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan