Kepada semua dermawan, harap kiranya tuan/puan yang mulia menyalurkan sumbangan untuk aktiviti Surau An-Nur SP1 samada melalui tabung surau atau melalui akaun CIMB (Akaun alTijarah), No. Akaun: 16010000007106 atas nama SURAU AN-NUR. Semoga Allah membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan yang banyak.

2009-05-14

Nur Islam Menyinari Hati di SP1


Assalamualaikum w.b.t.

Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. dengan kurnianya pada hari Jumaat 8/5/09 yang lepas, beberapa wakil Muslimah dari Persatuan Penduduk Islam SP1 telah mengunjungi Puan Ri (bukan nama sebenar), seorang Kristian yang telah mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam. Dengan izin Allah s.w.t. wakil Muslimah telah mengajar beliau menyempurnakan ucapan dua kalimah syahadah serta memberi sumbangan material berbentuk Islamik untuk membantu beliau mendalami agama Islam yang suci ini, insyaallah.

Ri, 20an adalah seorang Iban yang berasal dari Sarawak. Beliau telah menetap di SP1 selama lebih kurang tiga tahun bersama suami dan dua anaknya, masing-masing berumur antara 2 dan 5 tahun. Ri adalah seorang pagan sebelum berkahwin dengan suaminya dan memeluk agama Kristian. Walaubagaimanapun, dengan izin Allah s.w.t., sejak beliau berhijrah ke SP1, pintu hatinya telah terbuka untuk menerima Islam.

Cerita Ri memang unik. Menurutnya, sewaktu beliau sekeluarga sedang membeli-belah di pasaraya Tesco dan membelek-belek buku di sebuah kedai, beliau telah terpandang gambar Kaabah yang terdapat di situ. Tiba-tiba hatinya terdetik dan mulutnya terus terpacul perkataan "Ya Allah". Rasa syahdu, rindu dan melankolik mula menguasai dirinya. Sejak itu, beliau terus mencari-cari jawapan disebalik perasaan tersebut. Ternyata perasaan itu akan muncul setiap kali beliau mendengar laungan azan samada dari surau SP1 mahupun di kaca TV.

Tidak berpuas hati setakat itu, beliau mendapatkan bantuan daripada pembantu rumah yang tinggal berdekatan. Melalui dialah, Ri mula mengenal Islam dengan lebih dekat. Ri diajar mengucap dua kalimah syahadah, mengangkat hadas dan mendirikan solat. Dia juga telah menghadiahkan Ri sepasang telekung yang digunakan untuk bersolat.

Sejak itu, Ri tidak pernah lagi meninggalkan solat. Katanya, beliau akan menangis setiap kali beliau sujud kepada Allah. Tiada kata yang dapat menggambarkan indahnya perasaan seorang hamba yang telah dipilih oleh Penciptanya untuk mengagungkan dan mengEsakanNya. Pernah beliau bangun pada jam dua pagi untuk menunaikan solat tahajud, walaupun solat beliau hanyalah setakat pergerakan dan ucapan al-Fatihah.

Wakil Muslimah, melalui sumbangan peribadi seorang dua hamba Allah telah berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM53.00. Melalui sumbangan tersebut, kami telah membeli senaskhah Al-Quran dan terjemahan, sehelai sejadah, sekeping VCD solat untuk wanita, sebuah buku bertajuk Menempah Jalan Ke Syurga dan sesalinan nota tentang akidah yang disumbangkan oleh Puan Linda.

Ri telah menangis teresak-esak sebaik beliau mengucap dua kalimah syahadah di hadapan kami. Kami membiarkan beliau dibuai perasaan. Setelah tenang, beliau memberitahu kami, bahawa doa beliau supaya Allah menghantar seseorang untuk membantu beliau mendalami agama Islam telah dimakbulkan. Kami juga bersyukur kerana doa kami untuk setidak-tidaknya dapat mengIslamkan seorang kafir sepanjang hidup ini telah dimakbulkan Allah s.w.t.

Setelah kepulangan kami ke rumah masing-masing, barulah Ri teringat mimpi beliau pada malam sebelumnya. Beliau bermimpi didatangi ramai wanita ke rumah beliau dan menghadiahkan beliau Al-Quran, sejadah dan buku. Sekali lagi air mata Ri tertumpah. Sesungguhnya Ri tidak pernah mengalami situasi seperti ini semasa beliau menganut agama Kristian. Pada waktu itu, jiwanya kosong dan beliau sering merasa putus asa dengan kehidupan ini.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya Allah mengukuhkan iman saudara baru kita ini dan memberi hidayah kepada suaminya untuk mengikut jejak langkah Ri. Jangan lupa untuk terus membantu dan memantau keadaan beliau dari semasa ke semasa. Semoga kita juga beroleh saham daripada pengIslaman Rini. Amin.

Dalam perkembangan lain, Wakil Muslimah bercadang untuk melawat dan memberi sumbangan ikhlas kepada sebuah rumah anak yatim pada bulan Jun ini. Sumbangan berbentuk wang ringgit, buku-buku terpakai (buku pelajaran atau buku cerita juga diterima), pakaian, beras, gula, tepung atau apa-apa sahaja yang dapat dimanafaatkan oleh penghuni rumah anak yatim tersebut adalah dialu-alukan. Tarikh kutipan sumbangan akan diberitahu kelak. Derma yang ikhlas menyucikan jiwa. Insyaallah.

Sekian,
Bagi pihak Muslimah
Persatuan Penduduk Islam SP1

Satu cerita yang menarik di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan